Sekolah SBP Malaysia

Waktu tahun ketiga Universiti kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk selesaikan projek semester tersebut. Mulanya saya macam biasa lah, tak kisah sangat kumpulan mana dapat. Kumpulan kali ni saya seorang Melayu, seorang China dan 3 orang Mat Saleh. Bagus juga bahagi kumpulan rawak ni, boleh buat member baru.

 Tapi rupa – rupanya tekaan saya salah. Rupa – rupanya kumpulan tak dibahagi secara rawak, tapi berdasarkan markah yang diperoleh semester lepas. Maksudnya, kumpulan saya semuanya dapat markah yang lebih kurang, err… biasa – biasa. Dan geng – geng first class dikelompokkan bersama sesama mereka.

Maka apa yang berlaku adalah macam yang dijangka. Geng – geng first class kekal dapat markah yang tinggi dan kumpulan – kumpulan markah biasa – biasa macam kami kekal dengan … markah biasa – biasa.

Timbullah rasa tak puas hati. Bukan tujuan datang universiti nak belajar ke? Nak belajar dengan lecturer, nak belajar dengan kawan coursemate yang pandai – pandai. Sebahagian coursemate first class ada yang dah kerja industri, yang dah tau selok belok buat report, dan dah dilatih dengan prosedur engineering design. Maka kalau mereka diasingkan oleh universiti daripada kumpulan kitorang yang tak banyak ilmu dan pengalaman, semata – mata untuk bentuk satu kumpulan elit yang akan skor tinggi dalam assignment, macam mana kami di bawah nak belajar dan perbaiki keputusan kami?

Memanglah kumpulan mereka ‘elit’, sebab memang mereka dari awal dah bagus!

Tapi sebenarnya bila difikirkan balik, persoalan yang tengah difikirkan ni juga terpakai dengan sistem pendidikan yang kita lalui berbelas – belas tahun. Iaitu pembezaan sekolah ‘elit’ dan ‘sekolah biasa – biasa’. Apa hakikat perbezaan antara dua jenis institusi pendidikan ni?

 

Kenapa Sekolah yang ‘Bagus’ tu Bagus?
 
Rasanya memang harapan kebanyakan mak ayah dan pelajar – pelajar Malaysia adalah untuk masuk ke dalam sekolah yang top. MRSM dan SBP lah kebiasaannya. Sebabnya institusi pendidikan tersebut depa anggap lagi baik berbanding Sekolah Menengah Kebangsaan secara umumnya. Saya adalah antara contoh pelajar SMK yang dapat rezeki berpindah ke SBP yang, umm.. antara top 5 Malaysia jugaklah.
Hiasan – sekolah pertama jumpa dalam Google

Tapi macam mana kita nak nilai klaim bahawa ‘Sekolah SBP dan MRSM lagi baik berbanding sekolah SMK’?

Pertama sekali, kita dihadapkan dengan masalah fundamental bahawa secara individu, mustahil untuk kita bandingkan secara mutlak antara kedua – dua jenis sekolah ni. Sebab kita tak boleh hidup dua kehidupan serentak, satu di SBP, dan satu di SMK (duhh). Maka apa yang kita boleh bandingkan adalah mungkin pembelajaran kita di SMK waktu tingkatan 1 sampai 3, kemudian pembelajaran kita di SBP waktu tingkatan 4 sampai 5. Tapi mana kita tau kot kalau kita terus belajar di SMK sampai tingkatan 4 dan 5 sama je pembelajaran kita? Kalau kita skor straight A waktu di SBP, mana kita tahu kita tak akan jua skor straight A di SMK?

Itu belum lagi bila kita masukkan juga faktor lain, tingkatan 4 tu kebetulan cikgu yang kita suka ajar kita, orang yang buli kita dah pindah, sekolah kita dapat pertolongan kewangan menteri dan construction bising buat longkang 200 m dari kelas kita dah habis. Ini semua jadikan perbandingan terus antara kehidupan SBP dan SMK kita amat sukar jika tak mustahil. Kita bukan hidup sebagai alat uji kaji makmal.

Jadi sebenarnya apabila dibuat perbandingan SBP dan SMK, ia adalah berpandukan elemen pihak ketiga. Testimoni orang, apa kita baca dalam surat khabar dan yang paling besar sekali, keputusan peperiksaan awam.

Umumnya, semua orang pasti setuju bahawa MRSM dan SBP secara umumnya peroleh keputusan SPM yang lagi baik berbanding SMK. Jadi terjawablah persoalan kita, betul? “Sekolah SBP dan MRSM lagi baik berbanding sekolah SMK sebab keputusan SPM sekolah – sekolah elit tu lagi tinggi”.

Tapi nanti dulu, kalau macam tu, kenapa boleh wujud pelajar – pelajar SMK yang cemerlang teruk dalam SPM? 13, 14 A+. Malah kadang – kadang lagi dahsyat daripada pencapaian pelajar SBP dan MRSM dalam sejarah.

 

Takziah kepada Ahmad Atiq yang baru meninggalkan kita.
Maksudnya Semuanya Faktor Orang, Tak Ada Langsung Faktor Institusi?

Maka ini membawa kita kepada cerita asal saya tentang pelajar elit tadi. Sekolah SBP dan MRSM boleh skor cemerlang dalam SPM sebab yang dimasukkan belajar dalam institusi – institusi tersebut memang dah cemerlang dari awal. Mereka ambil talent pool daripada sekolah – sekolah SMK dan meninggalkan pelajar yang kurang berkemahiran pelajar tinggal di sekolah – sekolah tersebut. Kecuali untuk beberapa pelajar special case yang mungkin tiada rezeki ke SBP atau memang sengaja pilih untuk kekal di SMK.

Jadi ini membawa kita kepada kesimpulan awal “Bukan sekolah yang tentukan kecemerlangan pelajar – tapi pelajar itu sendiri” Pelajar yang memang cemerlang akan cemerlang tak kiralah di SMK atau SBP atau UM atau Sheffield.

Pernyataan ini jugak bermasalah. Sebab kita tau sekolah – sekolah top ni ada fasiliti – fasiliti yang mantap (tak berapa apply pada sekolah saya kot, haha). Jadi fasiliti – fasiliti ini dah pasti dapat hasilkan output pelajar yang lagi baik berbanding sekolah miskin, betul?

Emm… ada kebenaran, tapi tak berapa tepat. Pertama, sebab ini cuma nilaian aspek material, dan kedua, Ia bergantung pada pelajar itu sendiri juga sebenarnya. Bagilah mai makmal world class, perpustakaan 8 tingkat, aplikasi blackboard tahap batcave pun, kalau member nak tuang kelas main Dota, tak jadi jugak.

 

Kecuali kalau tesis PhD anda tentang Dota la kot. Kajian meme dah ada takkan Dota tak dak?

Tapi sekolah itu sebenarnya boleh dinilai baik atau buruk, lemah atau kuat, berdasarkan faktor by design dan by premise. Apa yang sekolah tu nak capai, dan apa matlamat utamanya, berdasarkan premis dan identiti yang membentuk sekolah tersebut.

Macam mana contoh sekolah yang berbeza by design and premise? Contohnya Maahad Tahfiz premis utamanya adalah melahirkan pelajar yang hafaz Quran. Maksudnya tak ada mak ayah yang letak anak belajar Tahfiz untuk hafal Das Capital. Begitu juga semacam sekolah agama dan MRSM Ulul Al bab. Premis mereka adalah keseimbangan nilai agama dan keilmuan ‘sekular’.

Dengan kata lain, sekolah yang baik, menurut pandangan saya, adalah sekolah yang miliki acuan yang baik, yang dibentuk secara by design oleh premis dan objektif awal. Semua pelajar satu Malaysia, tak kira cemerlang atau tak, akan melalui SPM. Tapi tak semua akan dapat peluang lalui acuan yang baik.

Dan dengan acuan yang baiklah saya percaya dapat melahirkan satu natijah yang paling besar dan paling sukar diperoleh oleh kesemua institusi di dunia. Bi’ah Solehah. Saya percaya, pengalaman melalui budaya dan suasana Bi’ah Solehah lebih berharga daripada sekalian ‘A+’ dalam dunia.

Kesimpulan  

Asasnya, mesej yang saya cuba nak sampaikan adalah jangan terlampau obses dengan perbandingan keelitan sekolah yang anda diberi rezeki lalui. Jika anda tak dapat rezeki ke SBP atau MRSM atau sekolah ‘elit’ yang lain, jangan rendah diri dan jadikan seolah – olah itulah penentu nilaian diri anda. Jika anda lepasan sekolah ‘elit’, jangan sombong dan menganggap rezeki akan jatuh ke riba.

Begitu juga, saya beranggapan pemilihan sekolah dan institusi pendidikan yang baik sepatutnya tak berdasarkan keputusan SPM semata – mata. Perlu dinilai identiti dan premis sekolah tersebut, walaupun mungkin belum terkenal. Dan paling utama, sekolah yang memiliki Bi’ah Solehah adalah satu nikmat.

 

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.