Anda pernah suarakan ketidakpuasan hati terhadap peperiksaan sewaktu di sekolah? Mungkin anda suka belajar, tapi tak suka peperiksaan. Atau pengalaman pembelajaran anda rosak lantaran obsesi sistem pendidikan terhadap peperiksaan.

Malangnya sistem yang tak disukai sekalian pelajar dalam sejarah ini seolah – olah tak mungkin dipertikai dan diubah, dan akan kekal puluhan tahun.

Namun, persatuan National Union of Teachers di UK berhasrat mencabar sistem peperiksaan piawai high stakeĀ yang dianggap merosakkan nilai dan pengalaman pendidikan pelajar – pelajar, setelah diimplementasikan selama 25 tahun.

Peperiksaan piawai yang dilaksanakan, menurut laporan mereka, mengurangkan nilai anak – anak kepada nombor dan statistik. Hal ini memberi kesan negatif kepada mereka, kerana pada akhirnya, anak – anak akan dinilai berdasarkan ‘ nombor per sepuluh’.

Laporan juga mendapati lantaran tekanan untuk memperoleh keputusan peperiksaan yang baik, sekolah terpaksa mengubah pengurusan pendidikan mereka kepada semata – mata memfokuskan peperiksaan.

Pelajar yang ‘tiada harapan’ dibiarkan dan fokus diberikan kepada pelajar lain yang lebih berkemungkinan lulus periksa.

Pelajar yang dilabel sebagai ‘selamat’ tidak didorong untuk lebih maju sebab markah mereka sudah ‘selamat’.

Subjek pendidikan didominasi oleh Bahasa Inggeris dan Matematik, malah dua subjek ini disempitkan konteksnya supaya boleh diuji dalam peperiksaan.

Sistem peperiksaan high – stake, iaitu peperiksaan yang mendatangkan kesan yang serius kepada pelajar, guru dan sekolah, membawa pula kepada tindakan – tindakan susulan melangkaui keperluan pendidikan seperti inspeksi, gaji mengikut prestasi, ‘sistem menamakan dan memalukan sekolah’, penutupan institusi pelajaran yang gagal dan pemaksaan akademik.

Beberapa alternatif dicadangkan oleh pertubuhan tersebut untuk memulihkan semula nilai pendidikan. Cadangan mereka bersifat berpusatkan pelajar, berdasarkan penilaian guru, dan tidak terikat dengan piawai nasional.

Peperiksaan piawai peringkat nasional pula mereka usulkan agar tidak dikenakan ke atas setiap pelajar di seluruh negara, tetapi hanya kepada kumpulan – kumpulan pelajar sampel, cukup untuk memperoleh data pendidikan yang diperlukan.

Apa pandangan anda tentang sistem peperiksaan?

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.