Saya pernah satu kumpulan projek tahun ketiga kejuruteraan di UK. Kumpulan saya seorang Melayu, dua orang Cina dari Tanah Besar dan seorang mat saleh tempatan. Kami berjanji berjumpa untuk mesyuarat mingguan pukul dua.

Saya sampai paling awal, disusuli oleh kawan – kawan Asia yang lain. Hanya kawan mat saleh itu saja yang belum sampai. Jadi saya telefon tanya, “hang kat mana?” (bahasa Inggeris)

Dia jawab “On the way mate”. Rupa – rupanya baru bangun tidur.

Ai, macam pernah dengar cerita ni.

Perasaan merendah diri terhadap bangsa atau pencapaian akademik negara lain mungkin agak jarang dilontarkan, tapi ia perkara yang sering dirasakan oleh pelajar kita. Kalau anda pernah sertai mana – mana pertandingan antara sekolah, mungkin anda pernah rasai perasaan ‘ketaq’ dengan sekolah lain yang dirasakan hebat.

Dari segi akademik, sentimen ini mungkin dirasai oleh pelajar Malaysia yang belajar di negara Barat. Negara Mat Saleh. Timbul inferiority complex atau perasaan rendah diri dengan pelajar – pelajar berambut perang yang dirasakan lebih hebat penguasaan ilmu mereka.

Perasaan begini bukanlah tidak berasas langsung. Hakikatnya mereka memang miliki institusi akademik gergasi seperti universiti – universiti terbaik dunia. Satu universiti seperti Oxford pula mampu keluarkan kertas akademik lebih banyak daripada himpunan universiti puluhan negara. Bukan itu saja, mereka iklankan pula pencapaian akademik mereka dalam sekalian filem, dokumentari, video Youtube dll.

Namun, sebenarnya perkara yang kita sering rungutkan berkaitan pembelajaran di negara kita, sama saja berlaku di sana.

Contoh paling ketara seperti pembelajaran exam oriented. Sehabis SPM, kita fikirkan keseluruhan sistem persekolahan Malaysia cumalah nak hasilkan pelajar yang mampu jawab atas kertas hasil menghafal skema jawapan.

“Macam mana nak maju kalau kita belajar cuma untuk muntah dalam periksa, tak macam negara mat saleh yang belajar untuk ilmu!”

Tapi menjelangnya sesi peperiksaan di Universiti sana, kedengaran juga rungutan – rungutan sama. “We just cram everything in the last minute and vomit on the exam day mate. Works everytime. That’s how you get your degree”. Kata kawan mat saleh saya.

Malah di UK sendiri terdapat gerakan memansuhkan sistem peperiksaan high stake lantaran kerosakan yang dibawa kepada nilai pembelajaran. Agak ironi apabila kita menganggap sifat pembelajaran exam oriented tak berlaku di negara mereka, apabila sistem itu, A level, GCSE, O level kita sendiri ambil dari mereka (yang mereka ambil daripada Timur).

Begitu juga, jika kita perhatikan data terkini, peralihan ilmu terutama sekali ilmu sains dan matematik mula beralih dan didominasi oleh Timur. Laporan Pisa terhadap trend penguasaan sains dan matematik dalam kalangan pelajar menunjukkan cabang ilmu tersebut dikuasai Singapura, Hong Kong, Jepun dan China.

sumber

Bermakna tidak mustahil selepas ini Malaysia akan banyakkan penghantaran pelajar ke Timur. Atau lebih jauh, bahasa akademik akan beralih kepada bahasa Timur.

Ini tidaklah menghairankan, kerana bak kata Ibn Khaldun, tamadun itu berkitar. Kegemilangan bertukar ganti. Kalau beberapa ratus tahun lepas mungkin dikuasai mat saleh, seterusnya orang lain pula. Kalau dulu dikuasai oleh empayar Islam, disebabkan sikap culas dan terlalu cintakan dunia, jatuh pula kepada orang lain.

Maka selaku penuntut ilmu, tak wajar merasa merendah diri seolah – olah merasakan ilmu ini dipegang kuncinya oleh satu bangsa, dan merekalah pendominasi penuh. Ilmu itu hakikatnya, milik Allah.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.