Image result for beg berat

Cadangan untuk meringankan beban beg pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah sememangnya disambut baik, dan merupakan antara perubahan yang diharapkan berlaku segera selari dengan pertukaran Menteri Pendidikan Baru.

Beg yang berat yang ‘dipaksa’ dibawa oleh murid – murid jelas bertentangan dengan aspirasi pendidikan negara kita yang mahu melahirkan murid yang seimbang bukan saja intelek dan rohani, tapi juga fizikal. Bagaimana mahu dicapai jika hasil sistem persekolah adalah murid – murid yang bermasalah tulang?

Kajian pernah dilakukan sekitar 2007 yang diterbitkan dalam Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences Vol. 1 (1) Januari 2005, mendedahkan dengan jelas masalah beban beg sekolah dan kesannya ke atas otot erector spinae dan sakit tulang belakang dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di Malaysia.

Malah dalam kajian lain oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) turut mendapati 58.3 peratus murid sekolah yang dikaji mengadu sakit belakang yang dikaitkan dengan membawa beg sekolah berat, selain ada kajian mendedahkan masalah beban berat akan menyebabkan tulang belakang murid menjadi bengkok.

Bermakna masalah beg berat sepatutnya sudah diselesaikan puluhan tahun lepas. Tapi kita tersekat bila tiba bab pelaksanaan.

Buku – buku teks yang berat dan pelbagai perlu dibawa oleh murid berdasarkan jadual pembelajaran hari tersebut. Jika tidak dibawa, akan dimarah guru. Kadang – kadang untuk satu subjek ada lebih tiga jenis buku – buku teks, buku latihan, buku nota, buku nota kecil. Untuk elak terlupa bawa kadang – kadang disumbat semua dalam beg.

Jadi adakah hendak diletakkan almari dan rak buku dalam setiap kelas? Cadangan yang bagus, cuma permasalahannya adalah kos yang tinggi. Dalam cakap – cakap hutang negara sekarang ini, mungkin ini satu angan – angan.

Begitu juga cadangan e – book dan beg roda. E – book sangat berkos tinggi, ditambah dengan risiko kehilangan dan kecurian. Beg roda pula sangat terhad penggunaannya. Perlukan jenis beg roda yang berkualiti tinggi dan tahan lasak untuk diheret atas jalan raya, juga tak selesaikan masalah membawa beg tersebut menaiki tangga.

Maka, nak tak nak solusinya adalah rombakan sistem pembelajaran kita. Mungkin kurangkan peranan buku teks dalam sesi pembelajaran. Menteri Pendidikan kita ada nyatakan hendak diubah baru – baru ini.

“Antara yang sedang dikaji ialah murid mungkin tidak perlu lagi membawa buku teks ke sekolah dan sistem pembelajaran yang lebih berkonsep pertanyaan (enquire base) dan kajian boleh diterapkan seperti yang diguna pakai negara maju yang tidak bergantung kepada buku teks di dalam kelas. Bagi saya penyelesaian sebegini boleh dan realistik dilaksanakan kerana ia tidak membabitkan kos selain memudahkan murid dan guru.” – Maszlee Malik.

Itu mungkin satu rombakan yang drastik dan radikal. Tapi kita doakan moga dipermudah.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.