Negara kita terima berita – berita membanggakan tentang pencapaian – pencapaian terkini dalam bidang sains. Terbaru, pelajar – pelajar sekolah menengah dari perkampungan nelayan kita peroleh juara dunia dalam pertandingan pendidikan nuklear antarabangsa, dan seorang saintis muda kita diberi anugerah penyampai sains terbaik di dunia.

Image result for Dr. Siti Kayriyyah Mohd Hanafiah

Ini satu perkembangan yang menyeronokkan terhadap masa depan pendidikan sains di negera kita. Namun, berita kejayaan ini jangan dibiar terhenti setakat berita kejayaan.

Idea – idea merekalah yang sepatutnya kita fikirkan cara untuk sampaikan kepada orang ramai, penonton media massa, netizen media sosial, pelajar sekolah, orang awam, makcik pakcik di kampung.

Ini masa untuk kita lawan pasaran media – media tular yang dikuasai video raver, cendol, manusia berlagak pondan dengan edutainment, pendidikan bercorak hiburan.

Kita dah ada kepakaran. Kita dah ada saintis – saintis dan ahli akademik yang mampu bercerita. Siap diberi penghargaan di peringkat antarabangsa. Sekarang kita perlu sediakan medium.

Di negara Barat, penguasaan edutainment mereka sangat mencemburukan. Mereka mampu menghasilkan video bertopik ‘kejuruteraan genetik’ dan menarik jutaan penonton. Saintis dan ahli akademik pula dijemput berceramah di atas pentas menceritakan tajuk – tajuk berat semacam nombor fibonacci. Juga dapat reaksi amat positif. Ini bermakna topik yang dianggap bosan dan perlu dielakkan supaya penonton tak cabut lari adalah tidak benar. Mungkin caranya saja salah.

Hal ini semakin diikuti rapat oleh jiran kita Indonesia, yang mula menghasilkan bahan – bahan pendidikan sains berkualiti tinggi, dengan jumlah capaian yang memberangsangkan.

Sudah tiba masanya kita reformasikan penyampaian pendidikan STEM kita. Aset – aset saintis dan bakal saintis jangan kita biarkan ‘hilang’, terawang – awang di langit dunia akademik atau memilih untuk meragut rumput di padang lain, kerana tiada langsung rumput di padang milik kita untuk mereka.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.