BANGI, Mei 2018 – Pelajar tahun akhir Ijazah Doktor Falsafah di Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanolectronik (IMEN), Mohd. Nuriman Nawi telah ditawarkan menjadi Felo dalam bidang Fizik Gunaan di Harvard University, United States.

Nuriman Nawi

Beliau adalah anak didik Dr. Ahmad Rifqi Md Zain, memulakan penyelidikan terhadap pengesan cahaya didorong oleh kemajuan teknologi cahaya di dunia, seterusnya membuat penyelidikan terhadap peranti pengesan cahaya berdasarkan grafin atau bahan dua dimensi yang lain.

Menceritakan tentang kejayaan beliau menjadi Felo di Fakulti Sastera dan Sains, Harvard University, Mohd. Nuriman berkata, beliau telah diperkenalkan oleh penyelianya kepada seorang profesor di Harvard University.

“Penyelia saya, Dr. Ahmad Rifqi adalah seorang penyelidik yang mempunyai kepakaran dalam teknologi fabrikasi peranti yang tersangat kecil dan juga merupakan rakan penyelidik kepada profesor tersebut.

“Beliau telah datang ke persidangan di Malaysia sebagai pembicara utama dan kami telah bersua ketika sesi persidangan di mana saya telah menjadi salah seorang pembicara.

“Dari situ secara tidak langsung beliau telah menemuduga dan berminat dengan kerja-kerja yang dijalankan oleh kumpulan kami di IMEN dan menjemput kami ke Harvard sebagai felo untuk berkongsi dan melakukan penyelidikan di sana,” jelasnya.

Katanya, disebabkan kekangan masa, beliau telah dijemput untuk melakukan penyelidikan selama enam bulan dan kemudiannya pulang ke Malaysia untuk mempertahankan tesis sebelum menjadi graduan UKM.

“Setelah selesai penyelidikan di IMEN, saya boleh kembali semula ke Harvard untuk meneruskan penyelidikan selama tempoh maksima lima tahun atau sehingga selesai penyelidikan di sana,” katanya.

Mohd. Nuriman berkata, jangan malu untuk untuk bertanya dan perlu mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penyelidikan yang dilakukan adalah bonus terhadap kejayaan seseorang pelajar.

“Kepada pelajar pascasiswazah yang lain, sikap adalah segala-galanya. Apabila kita menceburi sesuatu bidang, sikap yang positif adalah sangat-sangat diperlukan dalam melakukan penyelidikan.

“Kita jangan sesekali malu untuk bertanya dan walaupun kita sibuk dengan penyelidikan yang dibuat, janganlah kita lokek untuk berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan yang lain,” nasihatnya.

Sumber: www.ukm.my

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.