Orang Malaysia amat suka menonton video atas talian (online). Daripada 18 jam penggunaan internet dalam seminggu, 7.2 jam adalah menonton video – video atas talian. Youtube adalah platform yang paling popular untuk menonton video sebegini.

Orang cari pelbagai jenis video di Youtube. Kebanyakan mahu tonton cerita tular semasa, kalau yang muda cari video gaming, ada juga yang terperangkap dengan playlist video kucing berjam – jam.

Image result for youtube cat videos
“Astaghfirullah, terhabis 3 jam pula tengok video kucing”

Namun antara kebaikan lain Youtube adalah ia juga miliki saluran pendidikan yang pelbagai. Ada bentuk – bentuk pendidikan ringan yang diberi nama edutainment, ada pendidikan untuk bantu langsung pelajar yang hadapi masalah dengan silibus. Ia sangat popular dan pelbagai negara mula berlumba menghasilkan video – video pendidikan mereka.

Bagaimana dengan Malaysia? ayuh kita lihat top 5 saluran pendidikan Youtube Malaysia!

6(Tempat Khas) AJAR

Subscriber: 1300

Pengikut Facebook: 34000

“Kenapa ada tempat khas nombor 6 ni? Kata top 5?”

“Sebab ini artikel aku, kenalah bagi kredit sikit dekat saluran aku. Tapi tak cecah top 5 lagi jadi letaklah tempat khas no 6.”

“Tak malu”

AJAR adalah saluran pendidikan yang menerapkan konsep “pendidikan luar buku teks”. Video – video yang dihasilkan tidak menyentuh silibus atau peperiksaan secara langsung, tetapi mencetus perbincangan menarik tentang ilmu dan pembelajaran.

Antara video yang menarik adalah seperti “5 Peribahasa yang selalu disalahertikan”, “Betul ke atom wujud” dan “Kenapa matematik susah?”.

5TutorSyah TV

Subscriber: 8000

Tutorsyah Tv adalah saluran khas yang mengajar mengenai matematik SPM oleh Cikgu Mohd Hazwansyah. Menariknya cara pengajaran saluran ini menggunakan papan lutsinar, dan ditulis oleh cikgu secara terbalik!

4ASTRO TUTORTV

Subscriber: 29000

Saluran Tutortv adalah saluran pendidikan milik Astro yang turut disediakan platform Youtube untuk ditonton secara percuma tanpa langganan Astro. Berkemungkinan supaya mudah diakses oleh para pelajar tanpa mengira sangat aspek keuntungan. Kebanyakan video berkisar mengenai pembelajaran UPSR, PT3 dan SPM. Ada juga drama dan lakonan dengan kualiti produksi TV.

3YMX+C

Subscriber: 44600

Saluran ini berbentuk tutorial khas mengenai matematik yang berfokus kepada matematik tambahan SPM. Slot terbaru turut memasukkan pembelajaran sains SPM.

2BACFREESCHOOL.COM

Subscriber: 49000

Saluran ini juga berkisar kepada pengajaran mata pelajaran SPM tapi cakupannya lebih luas merangkumi matematik, sejarah, bahasa Inggeris, dan Bahasa Melayu.

1OH MY ENGLISH

Subscriber: 67600

Oh My English, juga merupakan hasil keluaran ASTRO, merupakan medium pengajaran bahasa Inggeris yang cukup popular. Inggeris diajar dengan cara santai dan sempoi, menerusi lakonan senario oleh artis – artis, yang kemudian diselitkan pengajaran mengenai Bahasa Inggeris. Format drama + pembelajaran ini adalah satu revolusi menarik lanskap pendidikan negara kita.

KESIMPULAN

Melihat kepada senarai, rata – rata saluran pendidikan di Youtube Malaysia berkisar tentang peperiksaan utama di negara kita. Sedikit saja yang berbentuk pendidikan menarik di luar silibus dan buku teks. Hal ini sangat berbeza dengan negara Barat malah juga negara jiran kita Indonesia, di mana saluran pendidikan besar mereka hampir tidak langsung menyentuh tentang peperiksaan negara mereka.

Malaysia masih miliki peluang yang banyak untuk gencarkan pendidikan di Youtube, Insya – Allah.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.