Transkrip ucapan Prof Dato’ Dr Teo Kong Seong mengenai UEC

“Dan bantahan saya, saya lihat dari sudut berbeza.

Saya bersetuju kalau UEC diiktiraf, ia akan menjejaskan perpaduan. Saya boleh terima hujah itu. UEC kalau diterima akan menjadikan sistem pendidikan kita huru – hara, ada dua sistem. Saya boleh terima. UEC kalau diterima akan mengenepikan Bahasa Melayu. Saya boleh terima.

Tapi hujah saya, UEC tak boleh diterima. Kalau UEC diterima, kerajaan yang iktiraf UEC berlaku zalim kepada rakyat. Maksud saya begini. Mereka yang ambil UEC setiap tahun anggarannya 10000 saja, calon Cina, adalah calon Melayu India sedikit.

Mula – mula mereka bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. 6 Tahun, darjah 1 sampai darjah 6. Itu yang dibenarkan kerajaan. Apabila mereka habis darjah 6 di sekolah rendah jenis kebangsaan, mereka sepatutnya pergi ke sekolah menengah kerajaan, sama ada yang menawarkan bahasa Mandarin ataupun yang menawarkan sastera Cina, ataupun ke sekolah kebangsaan biasa seperti Sekolah Tinggi Kajang.

Jadi mereka ini, pelajar UEC, ibu bapa mereka , mereka tak nak belajar di sekolah kebangsaan, kerana bahasa pengantar bahasa Melayu. Jadi mereka ini boleh dikatakan taksub dengan Bahasa Cina, mereka nak belajar dalam Bahasa Cina untuk pendidikan Menengah. Jadi mereka pergi ke sekolah persendirian Cina. Maksudnya mereka tak yakin kepada sistem pendidikan menengah kerajaan yang dikendalikan dalam Bahasa Melayu.  Mereka nak dalam Bahasa Cina.

Tak apa lah. Pergilah. Sebab kita negara demokrasi, demokratik, dan negara kita benarkan liberalisasi dalam pendidikan. Tak apa, pergi. Dan mereka pergi, mereka tahu akibatnya. Kalau ke sekolah persendirian Cina, mereka tahu akibatnya tak boleh bekerja dengan sektor kerajaan, tak boleh lanjutkan pelajaran di universiti awam.

Kenapa setelah lulus UEC ini, mereka nak masuk balik dalam sistem. Ini cukup tak adil kepada orang Malaysia yang berada dalam sistem. Dan lagi tak adil kepada anak – anak Cina yang berada dalam sistem.

Maksudnya lepas 6 tahun di sekolah Cina, mereka berada dalam sistem kerajaan. Tingkatan 1 sampai 5 mereka belajar dalam Bahasa Melayu. Yang tak nak belajar, mereka ke sekolah persendirian Cina. Tak apa lah.

Jadi di penghujung, Dong Zong nak kerajaan iktiraf supaya anak – anak Cina, ada Melayu, India sikit di sekolah persendirian Cina ini boleh masuk dalam sistem balik, bekerja dengan kerajaan, dan belajar di IPTA. Cukup tak adil.

Ia menzalimi pelajar yang berada dalam sistem sepanjang persekolahan. Saya pernah berhujah macam ini kepada rombongan Dong Zong di Majlis Profesor negara. 3 orang ini, wakil Dong Zong adalah pensyarah dari Universiti Tunku Abd Rahman.

Saya kata rakus sekali, tamak sekali. Nak untung sepanjang jalan. Ini tak adil kepada anak – anak Cina. Sebab kalau lulusan UEC dapat masuk IPTA, sebenarnya, mereka mengambil tempat anak – anak Cina yang setia kepada sistem itu. Sebab universiti masih amalkan sistem kuota. Kalau tak diamalkan sistem kuota, maka kita akan dapati, satu – satu fakulti akan dipenuhi pelajar daripada satu kaum. Sebab ada sistem kuota maka ada pelajar Cina, India, Melayu, Orang Asli dan sebagainya.

Saya bertanya kepada wakil Dong Zong, rakus sekali kau orang ini. Mereka tak dapat jawab sampai habis. Kalau kita kata, ini akan jejaskan Bahasa Melayu, mereka ada jawapan. Ini akan jejaskan perpaduan, mereka ada jawapan. Ini akan menduakan sistem pendidikan, mereka ada jawapan. Ini rakus sekali, ini mengkhianati anak – anak Malaysia yang berada dalam sistem, setia dalam sistem. Kau orang tak setia dalam sistem.

Dan saya nak akhiri bahagian saya, pada awal tahun ini, pengerusi Dong Zong telah buat kenyataan akhbar dalam the Sun, bahawa mereka tak nak buang masa dengan pengiktirafan ini. Mereka tahu tak akan diiktiraf. Mereka nak gunakan masa, menjelajah seluruh dunia untuk dapat pengiktirafan UEC di tempat – tempat lain. Maksudnya mereka merantau.

Soalan saya, ia mengkhianati anak – anak cina yang setia kepada pendidikan sistem pendidikan negara, itu tak dapat dijawab Dong Zong.”

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.