Majlis Amanah Rakyat (MARA) ditubuhkan untuk menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk penguasaan ekuiti Bumiputera. Ia memiliki sejarah yang panjang, dan telah mencapai kejayaan yang pelbagai.

Antara keberhasilan MARA adalah melahirkan tokoh – tokoh yang menjadi kebanggaan negara. Berikut adalah senarai 5 daripadanya.

1DATUK DR. SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR

Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor adalah angkasawan negara yang pertama yang berjaya menjejakkan kaki di ruang angkasa raya. Beliau terpilih daripada 11000 permohonan dan akhirnya diumumkan oleh Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi Perdana Menteri pada ketika itu sebagai angkasawan pertama Negara.

Beliau merupakan pelajar keluaran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar dari 1985 hingga 1989.

“Sebagai alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), saya dapati MRSM mempunyai sistem pendidikan yang unik dan perlu dibanggakan apabila berjaya melahirkan golongan bijak pandai di kalangan pelajar luar bandar. Syabas kepada MARA (Majlis Amanah Rakyat) terhadap usaha mereka yang kini membuahkan kejayaan.” ujar beliau.

2TAN SRI SYED MOKHTAR ALBUKHARY

Tan Sri Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary merupakan ahli perniagaan, dermawan, usahawan dan merupakan antara individu paling kaya di Malaysia. Tak ramai yang tahu bahawa MARA pernah terlibat sebagai tulang belakang yang membantu beliau dulu.

“Saya mula berniaga dengan menjalankan bisnes lori (pengangkutan lori) pada tahun 1972. Saya mendapat permit untuk mengendalikan empat buah lori tetapi disebabkan tidak cukup sumber kewangan, saya membeli dua biji lori dengan dibiayai pinjaman sepenuhnya dari MARA”

“Malah, ketika saya memulakan perniagaan beras, saya juga mendapat sokongan dari MARA apabila membekalkannya kepada anak syarikat MARA, Senama Bhd.”

“Saya amat terhutang budi kepada MARA kerana membantu saya di peringkat awal perniagaan. MARA telah berjaya memainkan peranan besar dalam membangunkan usahawan-usahawan Bumiputera seperti saya.” – Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary.

3ZULKIFLI HARON

Image result for zulkifli haron

Zulkifli Haron merupakan tokoh reka cipta negara kita dan pernah digelar sebagai McGyver Malaysia.

Antara ciptaan beliau adalah seperti baju terbang ala ironman, hovercraft, mesin gali tanah, mesin penyembelih lembu, mesin aiskrim goreng, mesin roti jala, robot pembuat mi goreng dan banyak lagi ciptaan yang boleh ditonton menerusi saluran Youtube beliau.

“MARA bukan sahaja mendidik saya dalam kemahiran teknikal malah turut memberi tanggungjawab kepada saya untuk menjadi pengajar di beberapa institusi pendidikan kepentingan Bumiputera ini”

“MARA membawa saya ke era baharu dalam bidang reka bentuk dan paling menggembirakan saya dilantik untuk menduduki Lembaga Pengarah Pusat Reka Bentuk Malaysia (DDEC) sejak empat tahun lalu,” kata Zulkifli Haron.

4TAN SRI ABDUL WAHID BIN OMAR

Image result for DATO' SERI ABDUL WAHID OMAR bio

Tan Sri Abdul Wahid bin Omar pernah memegang jawatan sebagai presiden dan CEO Maybank, pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan pengarah urusan / CEO kepada United Engineers (Malaysia) Berhad dan UEM World Berhad.

Beliau pernah ditawarkan biasiswa daripada MARA untuk menyambung pelajaran di bidang perakaunan di United Kingdom.

“(Seperti saya) MARA menawarkan peluang kepada anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk belajar di sekolah berasrama penuh yang baik dan membantu mereka untuk berjaya di dalam pelajaran dan kehidupan.”

“Hari ini ramai bekas pelajar MRSM dan pelajar tajaan MARA di peringkat institusi pengajian tinggi berjaya menjadi tokoh korporat terkemuka, ahli perniagaan yang berjaya serta memegang jawatan penting di dalam kerajaan mahupun sektor swasta.” kata beliau.

5TAN SRI ARSHAD AYUB

Image result for tan sri arshad ayub

Tan Sri Arshad Ayub memang tidak dapat dipisahkan dengan sejarah penubuhan MARA. Ini kerana beliau bukan sahaja merupakan pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) sejak tahun 1967 sehinnga 1975, malah menjadi pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di MARA ketika dekad awal penubuhannya. Ketika itu, ITM diletakkan di bawah kendalian Bahagian Latihan MARA.

Beliau pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya dan Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA. Beliaulah yang menjadi arkitek penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menjadi gedung modal insan pribumi yang teragung di Malaysia.

Rujukan: http://www.mara.gov.my/en_US/tokoh-korporat

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.