Monopoli Bahasa Inggeris dalam sains adalah isu yang semakin disuarakan, bukan saja dalam negara Malaysia, tetapi di seluruh dunia terutama sekali di negara – negara bukan penutur Bahasa Inggeris.

80% daripada jurnal saintifik yang dihasilkan adalah berbahasa Inggeris, dan trend ini semakin meningkat. Untuk melayakkan suatu jurnal yang bukan berbahasa Inggeris untuk dimasukkan ke dalam SCOPUS, pangkalan data terbesar untuk jurnal – jurnal peer reviewed, ia perlu sekurang – kurangnya memiliki abstrak bahasa Inggeris.

Dari segi sejarahnya, lingua franca bagi sains bertukar – tukar. Daripada Bahasa Arab, kemudian Latin, kemudian German, Perancis dan Itali. Apabila jatuhnya Soviet Union, terciptanya Google, dan letusan platform media sosial, barulah Bahasa Inggeris naik sebagai bahasa rasmi sains.

Image result for islamic golden age
Pada Zaman Keemasan Islam, Bahasa Arab menjadi Lingua Franca untuk sains

Walaupun penyeragaman bahasa untuk sains sangat berguna untuk mengembangkan kajian sains, namun ia juga bermasalah. Banyak tulisan saintifik dalam bahasa selain Inggeris yang terabai, sedangkan ia boleh jadi sangat penting seperti penemuan kesan kanser akibat rokok yang ditulis dalam bahasa German pada tahun 1930. Penemuan itu diabaikan selama 30 tahun sebelum dikorek semula oleh saintis British dan US pada tahun 1960.

Selain itu, menyeragamkan sains ke dalam Bahasa Inggeris menyebabkan saintis – saintis bukan Inggeris terbeban untuk menterjemah artikel – artikel mereka semata – mata untuk dapatkan lebih banyak capaian. Tulisan mereka lebih berkemungkinan untuk ditolak jika diterbitkan bukan dalam Bahasa Inggeris. Artikel mereka juga ditolak jika bahasa Inggeris yang digunakan adalah buruk. Sedangkan itu bukanlah sepatutnya keperluan untuk sains.

Namun masalah yang lebih mendasar akibat daripada bias bahasa Inggeris adalah hilangnya ilmu unik daripada bahasa dan peradaban lain. Dan ini ditunjukkan oleh kebolehan istimewa satu suku orang asli Andaman untuk mengetahui petanda – petanda gempa bumi.

Ilmu unik selamatkan orang asli daripada Tsunami

Suku orang Asli Onge dan Jarawa menjadi tumpuan dunia apabila mereka terselamat daripada tsunami besar yang melanda Indonesia pada tahun 2004. Rupanya rahsia mereka adalah daripada tradisi oral yang disampaikan zaman berzaman mengenai ilmu gempa bumi. Tradisi ini membolehkan mereka melarikan diri ke tempat tinggi sebelum tsunami membadai pulau mereka.

Suku Jarawa

Mereka tahu mengenai tsunami dan bagaimana untuk menghadapinya. Ahli antropologi membuat kajian dan mengatakan bahawa mereka miliki memori, strategi, dan teknik tersendiri untuk mengetahui kedatangan gempa bumi dan tsunami. Ilmu mereka ternyata melangkaui fungsi radar dan seismometer yang tidak mampu memberi amaran awal.

Sekiranya ilmu mereka diketengahkan dan dipelajari, maka berkemungkinan ratusan ribu nyawa boleh diselamatkan.

Sains Milik Semua

Orang Asli miliki banyak ilmu yang boleh ditawarkan kepada komuniti saintifik. Namun bahasa mereka sedang pupus, menjadikan semakin sukar untuk saintis dan pakar – pakar pelbagai bidang untuk memanfaatkan pengetahuan mereka.

Image result for meteor
Suku Kaum Luritja miliki lagenda ‘syaitan api’ yang menghempas bumi. Kini ahli geologi percaya cerita tersebut adalah tentang jatuhan meteor 4700 tahun lalu.

Menyempitkan sains kepada satu bahasa dan satu latar belakang budaya akan membuka risiko kita kehilangan idea – idea dan ilmu – ilmu istimewa, yang tidak diperoleh dalam jurnal saintifik dan makmal uji kaji.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.