Sekumpulan pelajar kejuruteraan dari Universiti di England menyertai program ‘Engineers Without Borders’, di mana mereka dibawa ke ceruk – ceruk pedalaman negara – negara miskin dan membangun seperti negara – negara benua Afrika.

Misi mereka, untuk perhatikan masalah – masalah penduduk setempat, kemudian datangkan idea kejuruteraan untuk selesaikan masalah mereka. Projek yang berjaya akan dapat penghargaan universiti, dan CV yang cantik…

Sesampai di Afrika, mereka pun mencari – cari apa projek yang mereka boleh lakukan. Ada yang pilih projek membuat perangkap tikus, ada yang buat alat menghalau nyamuk. Namun sebuah kumpulan tertarik dengan satu aktiviti penduduk kampung Afrika itu.

Disebabkan tiada elektrik, dan tiada mesin basuh serta saluran air, mak cik – mak cik kampung tersebut akan membasuh baju beramai – ramai di sungai. Mereka akan membawa baju kotor mereka dalam satu bakul, kemudian berjalan ke sungai, menyental pakaian – pakaian tersebut dengan tangan, kemudian berjalan balik ke rumah.

Image result for african washing clothes

Maka pelajar kejuruteraan mat saleh itu pun jumpa satu pernyataan masalah. Penduduk kampung hadapi masalah dengan proses membasuh baju!

Mereka pun buat kiraan. Perjalanan ke sungai boleh ambil masa hampir 10 minit, membasuh baju 30 – 50 minit, kemudian perjalanan balik lagi 10 minit. Jadi untuk basuh baju saja akan habis hampir 1 jam. Tak efisien! Itu belum lagi dikira masalah kepenatan menyental baju dengan tangan.

Jadi mereka pun berbincang untuk selesaikan masalah ini. Idea mereka, cipta mesin basuh yang tak perlu elektrik.

Akhirnya, mereka temui satu design yang bernas. Mereka gabungkan mekanisme putaran mesin basuh dengan basikal. Bermakna, mak cik – mak cik tersebut cuma perlu masukkan baju ke dalam tong, masukkan air (daripada tong air simpanan) dan sedikit sabun, dan kayuh selama ~20 minit untuk cuci baju mereka. Dapat jimat hampir 40 minit!

Related image

Tanpa buang masa mereka bina beberapa unit basikal mesin basuh itu. Kemudian mereka berikan kepada beberapa orang mak cik yang duduk jauh dari sungai. Ternyata mereka kagum dengan ciptaan tersebut. Sudahlah cepat, tak perlu bergerak ke sungai, ia juga kurang penat berbanding menyental dengan tangan!

Maka pelajar mat saleh tersebut pun bangga dengan ciptaan mereka. Mereka pulang ke England berpuas hati dengan projek mereka. Dah pasti ciptaan mereka paling berguna berbanding kumpulan lain.

Beberapa bulan kemudian, mereka datang semula ke perkampungan tersebut untuk meninjau ciptaan mereka. Alangkah terkejut mereka, apabila mereka dapati basikal mesin basuh mereka berhabuk dan berkarat. Ternyata mak cik – mak cik kampung tak menggunakannya.

Lalu mereka pun bertanya apakah sebabnya.

Makcik itu pun jawab: “Ciptaan kau orang ni memang bagus. Tapi mak cik jadi bosan kayuh sorang – sorang. Sebenarnya kami memang suka aktiviti basuh baju ramai – ramai dekat sungai ni. Kami tunggu setiap hari. Sebab waktu tu lah kami nak buka cerita pasal jiran – jiran dengan geng membasuh kami. Kadang – kadang kami sengaja basuh perlahan – lahan sebab nak borak panjang – panjang”

Maka tersedarlah pelajar kejuruteraan tersebut tentang masalah projek mereka sebenarnya. Mereka tak tanya dulu pandangan penerima ciptaan mereka itu. Mereka cuma kira dari segi cost – effectiveness dan keefisienan, mereka tak ambil kira faktor sosial.

Jurutera bukan hanya bermain dengan nombor.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.