Fizik memang merupakan matapelajaran yang sukar dikuasai pelajar. Oleh itu banyak cubaan untuk menambah baik pengajaran fizik.

Sekolah – sekolah cuba menambah peralatan eksperimen makmal, mengajar menerusi animasi, laman web, dokumentari…

Tapi terdapat satu percubaan pengajaran fizik yang belum pernah dibuat orang. Ini teknik pengajaran yang mungkin berupaya merevolusikan pendidikan fizik di seluruh dunia.

Iaitu mengajar fizik menggunakan filem Tollywood bombastik.

Video di atas cukup mempesonakan kerana tak tercapai dek akal. Mungkin inilah kemuncak kreativiti manusia.

Setiap adegan dalam potongan filem tersebut diterangkan menerusi persamaan – persamaan fizik. Kenapa? Entah. Cara fikir pembuat video tersebut tak dapat difahami sebagai mana filem – filem Tollywood yang lain.

Tak faham? Berikut diterangkan setiap persamaan beserta penafsiran penulis kenapa diletak persamaan – persamaan tersebut. (Penafsiran saja, boleh jadi ada pandangan yang lebih rajih)

Penerangan Video Fizik Tollywood Tular.

Video bermula dengan sang hero bergerak ke depan, dengan kelajuan permulaan (initial velocity) U1

Geng jahat pula cuba hidupkan enjin, tapi tak bergerak. Jadi halaju permulaan orang jahat adalah U2 = 0.

P = F/A adalah persamaan untuk tekanan (pressure). Maka di sini orang jahat A berasa tertekan dan tengah berpeluh.

Akhirnya van bergerak. Rumus halaju adalah V2 = U2 + a2t. Tapi memandangkan U2 = 0, maka halaju van menjadi V2 = a2t.

Hero mula memecut. Halaju hero adalah V1 = U1 + a1t.

Hero berjaya berlari menyamai kelajuan van. Maka V1 = V2.

F= m1a1 adalah persamaan untuk daya (force) sang hero.

Hero kemudian memusingkan …. err …  batang lampu (jangan tanya, filem Tollywood) dengan daya kilas (torque) yang dijelaskan melalui rumus τ = rF.

Batang lampu tersebut kemudian menghentak kepala penjahat B dengan impuls sebanyak Δt = mΔ

Van tersebut kemudian berpusing dengan halaju sudut (angular velocity) ω = v/r

Ini adegan yang sangat bijak. Van tersebut berputar mengelilingi hero seperti planet mengelilingi bintang dalam sistem solar. Maka hero digambarkan seperti memiliki daya graviti F = G (m1*m2)/r^2.

Van tersebut yang memiliki momentum m1u1 berhempas dengan lori yang memiliki momentum m2u2. Total momentum kemudian dikonservasikan menghasilkan persamaan m1u1 + m2u2 = m1v1 + m2v2

Van tersebut kemudian terpelanting dan berputar ke arah laut. Sesuatu yang berputar memiliki tenaga kinetik putaran (rotational kinetic energy) dengan rumus K = (1/2)Iw2.

Bahagian ini admin kurang faham. t1/2=ln2k adalah persamaan untuk separuh hayat (half life). Jadi mungkin nak beritahu orang jahat A ni cuma tinggal separuh hayat selepas kena belasah dengan hero.

Hero kemudian memecut ke arah orang jahat A. Sesuatu yang bergerak miliki tenaga K = ½mv2

Kemudian hero melompat. Sesuatu yang berada pada aras tinggi miliki tenaga potensi graviti (gravitational potential energy) ΔUg = mgΔh.

Ini kelakar. Setelah ditempeleng oleh hero, penjahat A melantun dari tanah seperti seperti spring. Spring miliki tenaga potensi elastik (elastic potential energy) Us = ½kΔx

Penjahat C kemudian lari dengan pecutan maksimum Vmax kerana cuak yang teramat.

Tapi memang tak akan mampu lari dari hero yang mampu … berlari … selaju cahaya…

Dan apa lagi cara terbaik untuk menamatkan video luar biasa ni melainkan dengan letupan. Hero menempeleng orang jahat terakhir dengan jumlah tenaga sebanyak E = mc^2 (formula terkenal Einstein). Ini rumus yang biasa kita guna untuk hasilkan tenaga nuklear. Kalau berat hero adalah sebanyak 90kg, tenaga yang dihasilkan dari tempeleng beliau adalah 8088796608631358760 J. Lebih kuat dari letupan bom Hiroshima.

Layaklah hero Tollywood ini ganti Saitama sebagai One Slap Man.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.