Pengumuman mengenai pemansuhan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid menjadi topik yang hangat baru – baru ini.

Idea ini bagaimanapun sebenarnya telah diumumkan sejak tahun 2017 lagi, dan dijangkakan akan dilaksanakan sepenuhnya bermula 2019.

Hujah rasmi yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan adalah untuk mendidik murid – murid agar tidak terlalu obses dengan Gred Purata Sekolah, dan tidak terlalu mementingkan pencapaian akademik semata – mata.

“Tiada keperluan untuk pihak sekolah mengasingkan murid mengikut tahap akademik. Sebaliknya, kita menggalakkan semua pelajar yang mempunyai tahap penguasaan akademik dan kelebihan berbeza dicampurkan supaya dapat saling membantu”, komen Ketua Pengarah Pelajaran ketika itu, Datuk Dr Amin Senin.

201712270834

Pengumuman ini bagaimanapun mencetuskan spektrum pandangan yang cukup lebar dalam kalangan netizen.

Ada yang menyokong dan ada yang tidak, masing – masing dengan penghujahan tersendiri:

Kem Menyokong Pemansuhan Pengasingan Kelas

Berikut adalah antara komen netizen yang bersetuju dengan polisi pendidikan tersebut:

“Stuju 👏. Sy sokong bnda ni. Sbb masa sy skolah dlu, sy Langsung xreti baca. Tp sy minat nk blaja. Xpasal2 masa darjah 2, kne lompat ke kelas paling last. Dlm kelas last tu bnyak budak ada attitude nakal yg xminat blajar. Sy pun terpengaruh. Bila darjah 4-5 dah pandai baca sket2, tp sy xminat nk blajar. Yela, geng ngan bdk xminat blaja kan. Bila start darjah 6, lompat ke kelas tengah2, bru ada minat blaja. upsr kan.. tp tu ah,,, mana sempat nk dptkan result yg baik . Dpt 4B 1C je walaupun dlu xreti baca sebelumnya” – Adam Lokman

” Setujuuuuuuuu… Supaya takda mindset “aku pandai” “dia bodoh” “aku bodoh” “dia pandai” – Noraida Ahmad

“Sekolah kami dh 6 tahun amalkan tidak mengasingkan murid… Alhamdulillah mampu cemerlang” – Siti Sanisah Zakaria

“Tang ni aku setuju dan rase nye ramai yg setuju. Bkn ape,kalau la budak2 yg kurang pandai duk tergolong dgn golongan yg x pandai sampai bila2 la diorang x kn pandai. Takat tu je lah. Nk harap kn cikgu sorang nk kasi 40-50org pelajar faham bkn senang.” – Arel Mikail

“Yup bgus mcm tu Sb ank2 yg kat bawah x rasa disisirkan Sb kdang bila ank kelas bawah cikgu pun x brp nak layan,cian ank yg brp dibwh” – Emah Emah

” Setuju. Saya dulu kelas campur je yang pandai dengan kurang pandai. Yang pandai dapat juga bagi tunjuk ajar kepada yang kurang pandai..🤗” – Zul Adlan

“Setuju.bila kelas tiada tahap,cikgu akan standart mengajar sama rata semua murid.bukan nak kata cikgu malas ajar budak2 kelas bawah.tapi biasanya kelas bawah terdiri dari budak2 nakal,lemah,kaki buli,malas.jadi memerlukan cikgu yg lebih tegas utk ajar budak2 camtu Bila semua dah bercampur,jadi boleh selaraskan pengajaran cikgu.lgpun budak2 bila ada teman yg serius belajar,jadi yg lemah akan ikut blajar dgn yg rajin pandai.”

Kem Tidak Bersetuju dengan Pemansuhan

Golongan yang tidak bersetuju juga miliki penghujahan mereka:

“saya kurang setuju kerana dari apa pengalaman saya bersekolah di sekolah luar bandar, guru kebiasaanya akan mengajar mengunakan satu pendekatan dalam satu2 masa.. dan ini yg mengkhuatir kan saya..ditambah dgn KPI yg perlu dicapai, guru akan lebih fokus kepada pelajar yg cerdik Ttg pelajar cerdik membantu pelajar lemah, ini tiada jaminan, lagi2 sekiranya pelajar lemah tu tiada imbal balas yg menguntungkan pelajar cerdik.. ini realiti yg saya alami” – Qayum Muhammad

“Bila yg nak belajar di campur dgn yg suka main … Ending dia semua main …” Rizwan Ibra

” umpama campurkan burung dan ikan dlm satu kelas..cikgu pun bingung nak ajar teknik terbang ke teknik berenang..kemampuan setiap murid berbeza2 jd akan ada mslh kalo dicampurkan” – Muhammad Abdullah

“agak sukar dilaksanakan kerana perbezaan tahap kognitif murid dalam satu kelas yg sama dgn JUMLAH MURID berjumlah lebih 30 orang, sukar guru hendak menentukan rentak penyampaian pelajaran…tujuan asingkan murid berdasarkan tahap kefahaman bukan menghukum, teapi lebih kpd membantu para guru dapat menentukan pace mengajar, kalau kelas depan, dapatlah cepat sikit, kelas sederhana dgn kaedah sederhana…dan seterusnya…keputusan ini nampak mudah atas kertas, tetapi realitinya agak sukar hendak dilaksanakan…kalau betul2 mahukan tiada perbezaan kelas, mansuh semua sekolah berasrama penuh, sekolah kluster kecemerlangan, sekolah berprestasi tinggi dsb…sama rata semua sekolah…” – Aswandi Andi

“Mcm ibarat konvoi motosikal laa… Cam mana yamaha lagenda 115 cc nak ikut bersama ngan yamaha R1 1000 cc… Memang kena tinggal le jawabnya…” – Yushaury Mat Zaid

” Sy tau ada byk kes bdk pandai merosot bila bergabung dgn bdk2 yg x mnt belajar. Bukan nak ajar kasta, bukan nak pilih kasih. Bdk yg x mnt belajar ni kdg2 buat bising, nakal, ada smpai menggangu konsentrasi. Cuba korg tgh busy nak buat latihan tiba2 cikgu korng menjerit marahkan bdk2 yg tgh buat bising, yg x fokus apa cikgu ajar. Agak2 mau murung 2 hari malas g sekolah. I vote for class seggregation supaya cikgu boleh fokus ikut tahap pelajar.” – Fieza Azmanizam

“ada murid yg berbakat di akademik. ada murid yg berbakat di bukan akademik. bagi saya pengasingan bukan bermaksud membezakan tetapi memudahkan kerana ada murid cepat tangkap dan ada murid lambat tangkap.”  – Sukri Mohamad

Pandangan Pro dan Kontra

Cikgu Mohd Fadli Salleh membahaskan beberapa pro dan kontra polisi tersebut:

Image may contain: 11 people, people smiling, people standing

+++

“Bermula 2019 tiada lagi pengasingan kelas. TIADA.

Tiada kelas paling pandai, tiada kelas paling hujung. Setiap kelas akan dicampur aduk murid pelbagai aras. Dari yang paling laju, hingga yang paling perlahan.

Ramai orang tanya aku tentang hal ini. Baguskah? Terukkah? Sesuai ke tak? Mempengaruhi murid tak? Bagaimana guru nak mengajar? Bagaimana dengan murid yang terlampau laju dan terlalu perlahan?

Aku pernah menulis hal ini tahun lepas. Perkara ini ada pro dan kontranya. Ada kelebihan dan ada kekurangan.

Namun jika ditanya pendapat peribadi, aku lebih suka kelas yang diasingkan kerana pengajaran dan pembelajaran itu lebih mudah dilaksanakan kerana murid setiap kelas hampir sama arasnya.

Oh ya, itu pendapat peribadi aku. Tidak terguna pakai untuk perbahasan atau kritikan lanjut.

Berikut aku senaraikan sedikit kelebihan dan kekurangan bila kelas tidak lagi diasingkan.

1) Kelebihan asing kelas.

Murid searas dikumpulkan dalam sekelas. Sangat memudahkan guru handle kelas dan mengajar. Budaya pembelajaran murid hampir sama. Aktiviti kelas dan latihan yang sama boleh diberi.

Mereka akan berlumba-lumba untuk bersaing sesama mereka kerana aras yang hampir sama. Sesiapa sahaja boleh menjadi nombor 1 jika berusaha. Persaingan ini bagus sekali.

Murid dari kelas belakang berpeluang masuk ke kelas hadapan jika mereka usaha lebih. Ini membuatkan mereka lebih rajin untuk masuk ke kelas yang lebih baik. Murid dari kelas depan pula berusaha agar tidak jatuh dan turun kelas. Persaingan sihat!

2) Kelebihan tiada pengasingan kelas.

Murid tidak rasa dibeza-beza. Mereka rasa mereka semua sama sahaja. Tiada rasa rendah diri bila perlahan dalam pelajaran.

Murid yang pandai bergaul dengan murid yang tidak pandai. Ini memberi motivasi kepada murid perlahan. Buddy support juga wujud di mana murid laju sentiasa bimbing murid perlahan.

Budaya belajar dari murid yang pandai dan rajin ditiru oleh murid perlahan ini. Seterusnya budaya rajin membaca, selalu bertanya, berani menjawab dan tampil ke hadapan berjaya diserap oleh murid pemalu, perlahan dan slow.

3) Kekurangan asing kelas.

Mereka rasa gah bila berada di kelas hadapan. Murid yang perlahan pula segan dan malu untuk bagitahu kelas mereka.

Wujud perbandingan kelas dan sindirin,

“Oh. Dia murid kelas belakang. Patutlah.”

“Patutlah dia selalu menang. Dia murid kelas depan.”

Pergaulan murid terhad. Murid kelas depan hanya berkawan dengan kawan-kawan setaraf mereka sahaja. Jarang murid kelas depan bergaul rapat dengan murid kelas belakang.

4) Kekurangan tiada pengasingan kelas.

Pengajaran dan pembelajaran sukar dilaksanakan kerana aras murid berbeza-beza. Guru perlu menyediakan bahan yang berbeza-beza untuk murid laju, sederhana dan perlahan.

Sikap murid perlahan yang malas pula diikuti murid yang rajin dan bijak. Akhirnya ada murid yang asalnya rajin dan pintar menjadi malas dan keputusan peperiksaan mereka merudum. Budaya negatif sememangnya lebib cepat mempengaruhi kanak-kanak.

Murid perlahan kurang berusaha kerana sedar mereka takkan dapat merampas kedudukan dalam kelas dari murid pintar. Persaingan dalam belajar akan kurang kerana mereka tidak risau turun kelas lagi.

Murid juga hanya bergaul sesama mereka. Tiada peluang naik atau turun kelas dari darjah 1-6. Ini membuatkan hubungan mereka sesama batch mereka renggang. Tidak pernah bertukar kelas bermaksud tidak membuat kawan baru. Hanya rapat dengan kawan sekelas sahaja.

*********

Namun, aku berpendapat saringan dan pengasingan untuk tahun 1 dan 6 sangat perlu diwujudkan.

Tidak lah aku minta asing semua. Cukup kenal pasti murid yang langsung tak tahu baca kira (LINUS) dan asingkan mereka dalam satu kelas untuk dipulihkan oleh guru pemulihan dan guru beredar.

Contohnya ada 5 kelas tahun 1. Kelas pertama hingga ke empat tiada masalah jika dicampur aduk antara murid laju dan sederhana. Namun pada aku, kelas kelima perlu diasingkan murid LINUS supaya pembelajaran dan pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Jika dicampur mereka dengan murid yang terlalu laju, aku risau mereka akan terus ketinggalan kerana guru tidak boleh memberi tumpuan khusus pada mereka sahaja.

Masa guru terpaksa dibahagi untuk membimbing murid laju, sederhana dan perlahan. Perhatian untuk mereka pasti berkurangan dan ini tidak bagus.

Apa pun, KPM telah mengeluarkan arahan, tiada lagi pengasingan kelas. Arahan itu wajib dipatuhi.

Apa yang aku tulis hanya pendapat peribadi dari kacamata seorang guru yang pernah mengajar kelas yang diasing 8 tahun dan kelas tanpa pengasingan selama 5 tahun.

Sesiapa sahaja berhak bersetuju atau tidak dengan pendapat peribadi ini. Suka aku maklumkan, aku sangat berbesar hati jika orang atasan sana memperhalusi pandangan ini.

+++

Diharapkan Kementerian Pendidikan telah membuat kajian semasaknya sebelum dilaksanakan polisi ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.