Nisah Haron, seorang peguam dan sasterawan yang disegani telah mengkritik amalan fotostat buku yang menurutnya merupakan pembunuh industri buku.

Dialog Pembunuh Industri Buku:
“Kau belilah, nanti ‘kitorang’ fotostat.”

Diucap pelajar.
Diucap pensyarah.
Diucap orang awam.

Sama halnya, untuk yang nak pakai barangan berjenama, tetapi beli yang tiruan dan berbangga pula dengan barangan tiruan itu.

Kalau ucapan itu oleh pelajar saya sendiri, memang saya tidak halalkan ilmu yang saya ajar.

Kalau diucapkan pensyarah, saya renung matanya dan bertanya wang gajinya yang lebih banyak daripada penulis itu digunakan untuk apa kalau bukan membeli buku.

Kepada yang berbangga dengan sikap begini, percayalah integriti anda sebagai insan dipersoalkan. Ini sesungguhnya, bukan integriti orang Islam.

Beli buku sokongannya besar untuk seluruh industri. Kalau tidak kemampuan buat masa ini, diam-diam sudahlah. Ujaran itu biarpun ada unsur jenaka, tetapi sangat tidak kelakar.

Ujaran begitu depan penulisnya sendiri, sangat kurang ajar.
Ujaran begitu depan penerbit, kedengaran angkuh (seolah-olah duitnya itu untuk benda lain yang lebih penting daripada ilmu).

Keadaan ekonomi semasa memaksa kita buat banyak pilihan. Kita boleh memilih untuk bercakap yang baik-baik dan terus memilih untuk tidak menyokong perbuatan fotokopi dengan cara yang tidak sah.

“Kalau ucapan itu oleh pelajar saya sendiri, memang saya tidak halalkan ilmu yang saya ajar”

Amalan fotostat buku yang melanggar hak cipta penerbitan sememangnya satu amalan yang masih diamalkan sehingga sekarang, dan malangnya, ia dianggap sebagai satu perkara biasa yang tidak bersalahan oleh kebanyakan orang.

Tambah menyedihkan, perkara ini dilakukan di institusi – institusi pendidikan, di mana sepatutnya nilai keberkatan ilmu dijaga rapi.

Kenapa Fotostat Buku?

Seperti mana industri cetak rompak berlaku kepada bahan media seperti filem, cetak rompak juga berlaku kepada industri percetakan buku.

Ia biasanya dilakukan oleh pelajar – pelajar yang merasakan mereka tidak berkemampuan untuk membeli buku – buku akademik yang dianggap mahal. Maka mereka meminjam buku – buku daripada rakan – rakan atau perpustakaan, kemudian dibawa ke kedai fotostat untuk dicetak secara keseluruhan, atau sebahagian.

Maka mereka dapat memperoleh keseluruhan isi buku tersebut dengan harga yang berkali ganda murah, kerana dapat dipintas kos untuk penerbitan, hak cipta, dan selainnya pada buku tersebut.

Kebiasaannya, hal ini dilakukan hanyalah untuk keperluan peribadi dan bukan untuk nilai komersial. Itu kebiasaannya tiada masalah, selagi mana ia cuma digunakan untuk komentari, kritikan, laporan pendidikan dan kajian (Fair use), namun dengan peraturan – peraturan tertentu seperti tidak boleh menyalin keseluruhan buku, dan tidak boleh membuat banyak salinan dan diedarkan. Sesetengah perpustakaan mengehadkan jumlah muka surat yang boleh disalin.

Namun yang lebih membinasakan dan jelas melanggar undang – undang, adalah apabila buku – buku yang difotostat itu itu dijual semula tanpa kebenaran penerbit. Bukan itu saja, kadang kala ia dijadikan bisnes di kolej malah turut mendapat tempahan daripada tenaga pengajar.

Aduh. Macam ni pun ada.

Apa Pandangan Agama?

Suatu soalan telah diajukan di portal kemusykilan.islam.gov.my mengenai diri penanya yang merupakan peniaga kedai fotostat di IPT. Beliau menjual salinan fotostat buku – buku untuk kegunaaan pelajar, dengan niat untuk membantu pelajaran mereka.

Ini jawapan rasmi yang diberikan:

“Anda wajib bertaubat daripada melakukan penyelewengan tersebut dan perlu membayar semula jumlah kertas photostate yang telah  digunakan dan wajib membayar kepada majikan anda. Anda wajib berhenti serta merta daripada melakukan perkara tersebut.”

Jelas, hal tersebut adalah serius dan berkait rapat dengan isu halal dan haram rezeki.

Hal ini kerana, menurut MUIS, Islam sangat menitikberatkan persoalan ‘Intellectual Property’ atau ‘al-milkiyyat al fikriyyah’ – harta intelek, sebagai termasuk di dalamnya hakcipta diperundangan dalam Islam.

Menurut Syeikh Salih al Munajjid , berikut adalah tatacara dan hukum fotostat:

“Hak cipta tertakluk kepada penulis dan warisnya setelah mereka meninggal dunia, dan tiada kesalahan menyalin atau memfotostat untuk kegunaan peribadi, tanpa niat untuk menjual selagi mana pemilik hak cipta tidak menyatakan kesalahan pada perbuatan tersebut. Namun jika ia disalin dengan tujuan menjual dan berdagang, maka ia tidak dibenarkan”

Seharusnya, kita perlu menghargai dan memahami bahawa karya – karya yang disalin itu adalah hak pengkarya, penulis, pemilik hak cipta yang telah bertungkus lumus menghasilkan buku tersebut. Titik peluh mereka perlulah diberi ganjaran setimpal dengan royalti hasil usaha yang mereka kerahkan.

 

 

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.