Pelajar Malaysia di UK menjalankan kempen yang diberi nama “Warming the Soul – Feeding the Homeless” sebagai satu kerja amal kepada masyarakat setempat.

Program yang dikelolakan oleh Ikatan Muslimin Malaysia Eropah tersebut bertujuan untuk memperbetul tanggapan salah sesetengah anggota masyarakat negara ratu tersebut terhadap Islam, sehingga mencetuskan Islamofobia.

Program Warming the Soul tersebut dijalankan dalam beberapa siri di beberapa tempat seperti di Dublin, Cardiff dan Manchester.

Dalam sesi – sesi tersebut, peserta yang terdiri daripada pelajar Malaysia mengedarkan makanan dan minuman seawal 7 pagi kepada golongan gelandangan tempatan yang serba kekurangan dan tidak memiliki tempat tinggal.

Saudara Aiman Arif, salah seorang peserta program, ketika ditemubual oleh Media ISMA Eropah berkata, “program ini dapat memberi peluang kepadanya serta peserta-peserta lain untuk merasa keadaan bagaimana hidup dalam serba kekurangan, tambahan pula dengan cuaca musim sejuk di bumi Eropah ini yang ‘unforgiving’ dengan hujannya yang berterusan, mendungnya yang berpanjangan, dan sejuknya yang naik ke tulang”

Beliau juga menambah, “aktiviti-aktiviti sebegini turut melatih diri peserta-peserta untuk sentiasa beramal serta diharapkan dapat memupuk semangat suka memberi dalam kalangan pelajar kepada masyarakat, kearah kebaikan.”

Peserta turut berkesempatan untuk beramah-mesra dengan golongan-golongan ‘homeless’ ini di mana salah seorang daripada mereka, bernama Dell, telah berkongsi kisah hidupnya serta bagaimana dia telah menjadi mangsa keadaan sehingga terpaksa hanya berteduhkan awan pada waktu malam.

Dia turut menghargai jasa serta semangat yang ditonjolkan oleh peserta-peserta dan AJK yang terlibat dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik ini.

Sehubungan dengan itu, adalah menjadi harapan bahawa program sebegini menjadi salah satu platform terbaik bagi mahasiswa Malaysia di United Kingdom untuk menyumbang kembali kepada komuniti serta masyarakat setempat.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.