Ada beberapa peribahasa yang kita tertanya – tanya kenapa diungkapkan sebegitu oleh nenek moyang kita dahulu.

Contoh 3 peribahasa biasa yang tak sangka, mendalam maksudnya.

Contohnya adalah peribahasa Kecil tapak tangan,nyiru saya tadahkan. 

Menurut DBP, peribahasa tersebut membawa maksud : Ingin mendapat sebanyak-banyaknya; sangat berbesar hati.

Tapi mengapa ya? Kenapa tapak tangan kecil? Apa tu nyiru? Kenapa tadah tangan?

Small Hands GIF - Yuge Ego DonaldTrump GIFs
‘Kecil tapak tangan’

Rupa – rupanya jika diteliti dan dihayati, peribahasa tersebut membawa makna yang cukup mendalam, menurut Nor Hashimah Jalaludin dari UKM

Peribahasa ini sebenarnya boleh difahami daripada beberapa tingkatan pemahaman, setiap tingkatan adalah lebih tinggi daripada sebelumnya (Ada maqam – maqam rupanya peribahasa ni): 

  1. Makna skrip
  2. Huraian kognitif penutur
  3. Penerokaan semantik inkuisitif
  4. Falsafah di sebaliknya.

“Fuh. Biar betul. Peribahasa ringkas je kot”. Jadi ayuh kita lalui satu per satu peringkat tersebut.

Tingkatan 1 – Makna Skrip

Peribahasa tersebut bermaksud untuk menerima sesuatu yang lebih besar atau sangat berbesar hati untuk menerima. Ini makna di peringkat pertama – umpama makna skrip yang tertulis.

Tingkatan 2 – Kenapa Tapak Tangan, Kenapa Nyiru?

Sekarang kita persoalkan pula penggunaan elemen kata dalam peribahasa ini. Bukan saja nak cari pasal dengan nenek moyang, tapi nak hayati kebijaksanaan mereka. 

  • Tapak tangan – Ini anggota badan yang kita boleh guna untuk tadah pemberian orang (Ya, ada banyak lagi kegunaan, bukan saja nak suruh mengemis). Tapi kuantiti yang kita boleh tadah tu sedikit sajalah.
  • Nyiru – Nyiru ini lebih kurang dulang kecil yang orang guna untuk menampi, galas baras atau menghidang. Nyiru ni banyak guna dia. Tapi tak boleh hadang anak panah, walaupun bentuk macam perisai (jangan cuba!)

Jadi kita banding antara tapak tangan dengan nyiru. Walaupun kedua – dua berfungsi untuk menadah, tapak tangan adalah lebih kecil daripada nyiru.

Jadi meskipun pemberian itu kecil, si penerima tetap berbesar hati. Ia boleh dikaitkan dengan imej saiz; iaitu yang besar itu baik yang kecil kurang baik. Ia menggambarkan juga perasaan si penerima.

Tingkatan 3 – Penerokaan Hati Budi Melayu

Sekarang kita teroka jauh lagi. Nyiru ini rupa – rupanya adalah alat untuk menampi, biasanya padi, sesuai dengan masyarakat Melayu.

Image result for menampi

Apa tujuan menampi? Ia adalah untuk memisahkan beras dengan hampa padi selepas ditumbuk. Selepas ditampi akan terpisah sekam (hampa padi) daripada beras.

Tak habis lagi. Padi ni ada bulu halus yang miang. Hampa / sekam itu pula keras dan liat, tak boleh dimakan. Tapi sekam ni tidak lah tak berguna langsung, ia adalah alat pembakar yang baik. Jadi kita boleh guna sekam untuk bakar labu sayung.

Jadi seperti detektif, kita boleh kaitkan tampian padi dengan pemberian orang. Rupa – rupanya orang Melayu nak kata, apa yang nak diberikan tu bukan setakat diterima, tapi ‘ditampi’, ‘ditapis’ dan direnung supaya benar – benar bersih. 

Mungkin ada pemberian mempunyai unsur ‘miang’ yang boleh melukakan, ada yang keras dan liat yang boleh memudaratkan. Maka banyak pertimbangan yang harus dibuat sebelum menerima sesuatu pemberian daripada seseorang. 

Tingkatan 4: Falsafah

Apa falsafah di sebaliknya? Peribahasa ini membawa pengajaran bahawa seseorang harus berfikir/menimbang terlebih dahulu sebelum menerima apa sahaja pemberian. Tidak semua yang datang itu baik mahupun buruk.

Sekam adalah alat pembakar tetapi pembakarannya adalah secara terselindung dengan hanya mengeluarkan asap tetapi pada masa yang sama akan memusnahkan apa yang dibakar. Ia boleh dikaitkan dengan peribahasa ‘api dalam sekam’. Pembakaran secara senyap hanya dengan mengeluarkan asap boleh diibaratkan sesuatu yang mempunyai maksud tersirat. Di situlah boleh kita kaitkan fungsi menampi tadi.

Image result for sekam
Sekam padi.

Begitu rapinya pemilihan objek antara tapak tangan, nyiru, sekam dan niat yang jahat itu tersimpul rapi berasaskan pemerhatian manusia dengan alam. Masyarakat terdahulu lebih bersifat mesra alam, bersahabat dengan alam dan secara tidak langsung menjadikan dunia ini eko-sistem yang selamat untuk diduduki.

Rujukan: Pelestarian dan Perekayasaan Bahasa Melayu 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.