Apabila kita meneroka alam media sosial, pasti tidak terlepas daripada ‘tersangkut’ menonton video – video kucing.

Dan, sudah pasti kita pernah menganga kagum menonton video – video kucing yang mampu memuatkan diri mereka dalam bekas – bekas kecil, seolah – olah mereka miliki sifat cecair.

cat GIF
Oh wow, macam mana hang buat, kucing?

Sifat istimewa dan kelakar kucing ini begitu dikenali sehingga manusia mencipta satu ungkapan ‘cats are liquids‘ (kucing adalah cecair)

“Cantiknya hiasan balang kaca kamu Minah”

Apabila ungkapan ini diungkapkan kepada seorang saintis, Marc-Antoine Fardin, beliau ketawa. Namun kemudian beliau terfikir:

Cecair secara tradisionalnya didefinisikan sebagai bahan yang mengikut bentuk bekas. Namun dalam beberapa kondisi, kucing seakan – akan memenuhi definisi ini.

Maka dengan pemerhatian yang begitu saintifik itu, Fardin kemudian menghasilkan satu kertas kajian yang bertajuk ‘On the rheology of cats’

Kenapalah tak pernah terfikir nak buat tajuk ni waktu Universiti dulu?

Rheology adalah satu kajian mengenai sifat mengalir. Menurut pemerhatian Fardin, kucing boleh mengadaptasikan bentuk mereka mengikut bentuk bekas jika kita berikan mereka masa yang cukup. Maka kucing adalah cecair jika kita berikan masa untuk mereka menjadi cecair.

Pelbagai formasi cecair kucing yang dikaji

Formula utama yang digunapakai oleh beliau adalah ‘nombor Deborah‘ (De ≡ τ / T), iaitu satu nombor tidak berdimensi yang menentukan tahap cair atau pejal sesuatu bahan. Ia antara lain digunakan dalam geologi untuk menentukan aliran gunung dan glasier.

Nombor Deborah tersebut membandingkan antara masa pengenduran dan masa eksperimen. Ringkasnya, sekiranya nombor Deborah seekor kucing yang masuk ke dalam singki dan berubah menjadi bentuk singki adalah kurang daripada 1, ia adalah relatifnya cecair. Jika lebih daripada 1, ia adalah relatifnya pepejal.

Jangan la gelak. Kajian saintifik serius ni.

Namun, kajian tersebut tidak memperoleh kata putus. Menurut kertas tersebut: “kesan basahan dan tribologi umum kucing masih belum cukup maju untuk memberikan jawapan definitif kepada kebergantungan kapilari terhadap masa pengenduran kucing”

… Hah? Jadi kucing ni cecair ke tak?

Kajian Ini Menangi Anugerah Ig Nobel Prize

Walaupun kajian ini sangat penting kepada lanskap ilmiah tamadun manusia, ia tidak diberikan anugerah Nobel yang berprestij itu.

Sebaliknya, kertas kajian On the Rheology of Cats itu diberi penghargaan anugerah Ig Nobel Prize, iaitu anugerah sains yang diberikan kepada kajian – kajian yang membuatkan orang ketawa, kemudian berfikir.

Semoga kajian terhadap dinamika bendalir kucing ini dapat membuktikan kepada kita bahawa soalan – soalan lekeh yang kita pernah terfikir boleh jadi memiliki nilai saintifik yang boleh diteroka.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.