Kebanyakan minyak mentah/bahan api fossil malangnya bukan berasal daripada T-rex yang tuan-tuan dan puan-puan sayangi.

Minyak mentah atau bahan api fossil atau kerogen yang menjadi omongan orang kebanyakan bukanlah berasal daripada dinosaur sebenarnya. Kemungkinan besar juga, tiada langsung kerogen yang terhasil daripada dinosaur, mungkin terdapat sedikit sahaja yang terhasil daripada reptilia marin yang hidup di dalam laut misalnya Ichthyousaurus.

Image result for dinosaur oil meme
Antara meme yang begitu popular, dinosaur plastik datang daripada dinosaur

Kerogen ialah sejenis bahan organik yang berstrukturkan alkana CnH2n+2, terhasil setelah mana-mana bahan organik yang terpelihara di dalam batu mendapan misalnya lipid (seperti lemak dan lilin), karbohidrat dan lignin (pokok), dipanaskan dan dimampatkan pada suhu dan tekanan yang sesuai. Katagenesis atau “oil window” (50-200°C) akan menghasilkan minyak dan suhu setelahnya, metagenesis, akan menghasilkan gas.

Jenis-jenis kerogen diklasifikasikan mengikut nisbah pasangan hydrogen dan oksigen, H:O dan karbon dan oksigen, C:O dan ini ditentukan oleh kandungan-kandungan bahan organik yang terdapat pada organisma yang telah terpelihara di dalam batu mendapan tersebut. Yang menariknya, setiap organisma yang tinggal di persekitaran dan alam yang berbeza, akan menghasilkan nisbah H:O dan C:O yang berbeza, jenis kerogen yang berbeza!

Image result for dinosaur oil meme
Maksudnya meme ini pun tak betul. Tak jadi sedih.

Tiga jenis kerogen yang utama ialah (Jenis i) kerogen sapropel, (Jenis ii) kerogen liptinik (penuh lipid) dan (Jenis iii) kerogen humic:

i. Kerogen sapropel terhasil daripada alga seperti Bottrycoccus, kaya dengan bahan alifatik yang terperangkap di dalam batu syal purba dan menghasilkan minyak.

ii. Kerogen liptinik pula terhasil daripada zooplankton dan phytoplankton yang terperangkap dan menghasilkan minyak.

iii. Kerogen humic pula terhasil daripada tumbuh-tumbuhan darat yang mendapat pemendapan awal seperti di kawasan paya atau delta purba dan ini akan menghasilkan gas asli dan arang batu contohnya di Luconia Tengah, Sarawak (Shell please hire me).

Apa?! Kenapa dinosaur takdak dalam nihhh?!

Malangnya, sesuatu batu itu, sekiranya mahu untuk memelihara bahan organik, tidak boleh didedahkan dengan dua (2) perkara penting yakni:

1) Oksigen: Sekiranya terdapat oksigen di sesuatu persekitaran, bakteria dan mikroorganisma akan wujud di samping dinosaur-dinosaur kesayangan semua.

2) Bakteria dan mikroorganisma: sekiranya mereka ni ada, maka lunyailah segala tisu badan dan lelemak yang boleh ditukar menjadi kerogen.

Sad dinosaur
“Maksudnya kematian kami tak beri faedah?”

Oleh sebab dua faktor yang penting tersebut, segala bahan-bahan organik yang mampu ditukar kepada kerogen hanya akan terjadi apabila disemadikan di persekitaran yang tidak mempunyai oksigen dan bekteria dan mikroorganisma seperti di dasar laut.

Kesimpulannya yang Arif, Minyak Mentah Bukan daripada Dinosaur.

Image result for ace attorney
“Saman mereka yang sebarkan meme dusta ini yang Arif!”

Rumusannya, minyak mentah tidak terhasil daripada dinosaur namun terhasil daripada alga, zooplankton, phytoplankton dan tumbuh-tumbuhan kerana segala ramuan untuk menjadikan bahan mentah itu wajib dimendapkan dan dipelihara sebelum ditanam pada suhu dan tekanan yang sesuai.

Tapi, plankton kecik, 1mm je seekor tu!? Dekat sini saya nak ajak tuan-tuan dan puan-puan berfikir sejenak dan berasa kagum dengan sistem ciptaan Allah. Sekumpulan plankton yang kecil mampu menjana minyak sehingga beratus juta km3 dan kawasan yang dahulunya paya atau delta kini menjana 10 trillion meter persegi gas asli seperti di Luconia Tengah.

Fikir-fikirkan.

Tulisan oleh : Muhammad Azri

Rujukan:
1. AAPG Wiki – Source rocks, accessed 19/1/2019
2. Lunt & Mazlan Madon, 2017, A review of the Sarawak Cycle: History and modern application.
3. Schlumberger Oilfield Glossary – source rocks, accessed 19/1/2019.
4. Selley & Sonnenberg, 2015, Elements of Petroleum Geology, 3rd ed.
5. Wee & Liew, 1988, Development Planning of the F6 Gas Field in Central Luconia, Offshore Sarawak, Malaysia.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.