Belajar di luar negara adalah antara impian banyak pelajar. Peluang untuk merasa ‘fly’, berjumpa bangsa antarabangsa lain, merasa salji, ini semua antara perkara yang diinginkan sebahagian pelajar.

Namun tidak ramai yang tahu kisah sebenar di belakang. Pelajar luar ramai yang menghadapi masalah kewangan, kejutan budaya, masalah adaptasi, ditipu ejen perumahan, masalah pembelajaran, masalah kesihatan dan hilang punca.

Antara masalah yang kerap kali menimpa pelajar luar negara, tapi kerap kali juga disembunyikan adalah depresi. Kadang kala, seorang pelajar boleh ‘menghilangkan diri’ berbulan – bulan dek kerana kemurungan.

Masalah depresi ini diterokai oleh sekumpulan pelajar di Eropah yang menghasilkan filem pendek Depresi.

Filem Pendek Depresi

Video bermula dengan seorang lelaki, Zol yang kelihatan tidak keruan, memunggah – munggah barangan di sebuah bilik.

Ternyata dia sebenarnya mencari sebotol ubat, yang kemudian ditelan dalam keadaan panik.

Adegan seterusnya menerangkan apa sebenarnya yang berlaku. Zol menelefon ayahnya memberitahu bahawa dalam 4 bulan, dia akan tamat pengajian. Dia kemudian mengajak ayahnya untuk datang ke majlis graduasi.

Namun, ayahnya kemudian menyatakan beliau tidak dapat hadir, kerana kesuntukan wang. Ayahnya malah meminta Zol menghantarkan duit kerana tiada duit menampung yuran sekolah adiknya.

Hal ini mendatangkan tekanan buatnya, sehingga membuatnya pengsan. Akibat tidak tahan dan tidak tahu apa , Zol kemudian mengambil lagi botol ubat sebelum ini.

Rakan Zol kemudian masuk ke bilik dan menghentikannya. Dia meminta Zol menceritakan masalahnya bersama.

Dalam adegan yang menyentuh hati, rakan tersebut menenangkan Zol dan mengatakan ubatan yang diambil tak menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Aku dah malas fikir dah …

Zol, kalau kau malas fikir, kita fikir sama – sama Zol! Sebab tu aku ada kat sini, Zol!

Pengarah filem kemudian meneroka perkara – perkara yang boleh membantu pelajar luar negara yang mengalami depresi, termasuklah berada dalam lingkungan kawan – kawan yang baik, keluar melihat alam, mengongsikan masalah dan menyedari bahawa rakan yang terbaik sebenarnya adalah Allah S.W.T

Walaupun video ini pendek, tetapi mesejnya cukup dirasai. Kita harapkan semoga pelajar luar negara menghasilkan lebih banyak karya yang memberi pengajaran bermakna kepada masyarakat.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.