Sebuah soalan tular di laman web Reddit kerana cukup melucukan, walaupun penanya soalan tersebut tidaklah menganggap soalannya sebagai ‘soalan bodoh’.

“Kalau tenaga kinetik ditukar kepada haba, sekuat mana saya perlu tempeleng untuk masak seekor ayam?”

confused monkey what GIF by namslam

Soalan tersebut sebenarnya masuk akal dari segi saintifik. Kerana menurut hukum keabadian tenaga, tenaga tidak boleh dihasilkan dan dihapuskan, ia cuma berubah bentuk.

Contohnya, apabila kita menggesek sesuatu permukaan berulang – ulang, ia kemudian menjadi panas. Bermakna dalam contoh ini, tenaga kinetik (pergerakan) berubah bentuk menjadi tenaga haba.

Maka dengan pemahaman konsep ini, Redditor ini pun tertanyalah, “kalau aku lempang seekor ayam, mesti tenaga lempangan aku itu bertukar kepada tenaga haba. Jadi berapa kuat aku perlu lempang supaya tenaga haba itu cukup untuk memasak seekor ayam?”

fight fighting GIF

Disebabkan gambaran situasi ini begitu tidak masuk akal, maka banyak pengguna lain yang terhibur dan ketawa terhadap soalan ini.

Tetapi ada juga kumpulan – kumpulan ‘nerd’ yang cuba menjawab soalan penting ini. Kita sangat bersyukur terhadap kewujudan mereka.

Seorang pengguna Reddit Parker Ormonde dengan major fizik kemudian membentangkan pengiraannya:

  • Formula untuk mengubah tenaga kinetik kepada tenaga haba adalah 1/2mv^2 = mcT.
  • Berat purata tangan manusia adalah sekitar 0.4kg, kelajuan purata tamparan (tempelengan?) adalah 11 m/s, berat purata ayam panggang sekitar 1kg dan miliki kapasiti haba spesifik 2720 J/kg °C .
  • Andaikan ayam perlu mencecah suhu 205 °C untuk masak, dan andaikan ayam tersebut bermula dari suhu 0 °C (baru keluar peti ais)
  • 1 tamparan secara puratanya akan menghasilkan penambahan suhu sebanyak 0.0089 °C. Maka ia akan memerlukan tamparan sebanyak 23034 kali untuk memasak ayam.
  • Untuk memasak ayam dalam satu tamparan, abang perlu menampar dengan halaju 1665.65 m/s atau dalam 6000 km/h.

Untuk perbandingan, kelajuan Concorde ialah 2,180 km/h, kelajuan tembakan peluru pula sekitar 4500 km/h.

Bermakna, untuk memasak ayam dengan tempelengan, anda perlu berlatih melibas tangan pada kelajuan melebihi kelajuan peluru! Atau anda boleh tempeleng sebanyak 23034 kali, kalau anda bosan di hujung minggu.

Mungkin kita perlu tunggu pasukan mythbuster sahkan perkiraan ini.

(Apa maksud korang ayam tu akan hancur berkecai? Dah eksperimen belum?)


*Tambahan – sebenarnya memang terdapat eksperimen percubaan memasak dengan teknik pelik yang hanya boleh difikirkan saintis – saintis gila.

Kajian ‘Cooking with Potential Energy‘ ini contohnya cuba memasak ayam Turki dengan melemparnya daripada tingkat 10 Universiti berkali – kali. Ya, setelah ayam jatuh, mereka ambil suhu dan cepat – cepat berlari semula ke tingkat 10 untuk mengulang proses.

Setelah 6 jam dan 72 kali lemparan, mereka membuat kesimpulan bahawa dengan cara ini, ayam tersebut akan dapat dimasak sepenuhnya dalam masa 46 jam. Ya, ini lambat sedikit daripada tempoh menunggu di kedai – kedai Tomyam, tapi menurut mereka sekurang – kurangnya tiada bahan api digunakan.

Wah ada graf. Maksudnya boleh percaya lah.

Dan ya, nampaknya ini adalah kajian jenaka, seperti pembentangan saintifik kertas kerja berkaitan ayam di bawah:

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.