Cikgu sains hakikatnya sangat berminat untuk mengajar subjek sains yang diintegrasikan dengan ilmu Islam, namun amat sukar untuk mereka temui modul – modul sains Islam yang telah diformulasikan di institusi – institusi pendidikan.

Mereka merasakan modul – modul dan kajian tersebut terlalu ekslusif, mahal, dan hanya diguna pakai di sekolah – sekolah elit tertentu saja.

Berikut antara keluhan yang disuarakan wakil guru sains, Cikgu Zainun Mustafa di perbincangan meja bulat IKIM yang dilaporkan oleh majalahsains.

Modul Sains Islam Sangat – sangat Diperlukan Sekarang, Mengapa Dibuat Ekslusif?

“Pelajar sekolah sekarang mengalami masalah kekosongan jiwa, krisis aqidah dan akhlak, walaupun mereka dianggap pelajar – pelajar sains harapan”.

Cikgu Zainun menjelaskan bahawa mereka tidak dapat mengguna pakai modul sains Islam yang dikaji dengan begitu mendalam oleh institusi pengajian tinggi walaupun hakikatnya mereka sangat memerlukan.

Hal ini bertambah parah apabila di sekolah – sekolah, guru sains dan guru agama diasingkan sehingga tidak bertegur sapa.

Menurut beliau, cikgu – cikgu sains cuba untuk menerapkan nilai Islam termasuk menerangkan fenomena sains berdasarkan ayat al Quran dan hadis, namun mereka khuatir salah kerana tiada latihan agama.

“Menurut kajian, pelajar sebenarnya boleh aplikasikan sains, namun tasawwur mereka rendah kerana kerana diajar oleh cikgu – cikgu bio dan hanya memperoleh sedikit sahaja sentuhan daripada guru agama” ujar beliau.

Beliau juga mengkritik penghasilan modul – modul sains Islam yang hanya dijalankan dalam kalangan sekolah – sekolah agama swasta.

“Kami hanya mengguna pakai apa yang kami jumpa di Internet, sehingga kami khuatir salah kerana tidak bersumber”

Sangat Kurang Sumber Online Bahasa Melayu Berkenaan Sains yang Terbuka

Satu lagi kebimbangan yang disuarakan berkenaan pendidikan sains Islam adalah kurangnya bahan rujukan sains berbahasa Melayu yang boleh diakses mudah oleh remaja.

Hal ini diluahkan oleh wakil DBP di persidangan berkenaan yang mengatakan sedang bahan bacaan berbentuk rebel dan punk mudah mereka peroleh, bahan bacaan sains dalam bahasa Melayu sangat sukar didapati.

Kini apabila segala maklumat diperoleh atas talian, kita masih lagi belum miliki laman web pendidikan rujukan sains utama dalam Bahasa Melayu yang mudah diakses.

Apabila ingin merujuk kepada konsep sains, pelajar hanya miliki sumber Inggeris, walaupun telah berpuluh – puluh tahun internet dicipta. Sudah pasti, apabila bahasanya Inggeris, orientasi ideologi penulis sains tersebut bukanlah orientasi Islami.

Jika ada laman – laman web sains akses terbuka berbahasa Melayu, ia diusahakan secara sendirian seperti majalahsains.com, fiziklah.com, inisainsbeb dan falakonline.net. Kesemua ini tidak mendapat dana dan perhatian sewajarnya, dibiar beroperasi sendirian.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.