Seorang guru yang banyak berbakti kepada anak bangsa pergi meninggalkan kita setelah bertarung dengan penyakit kanser payudara tahap empat sejak dua tahun yang lalu.

Cikgu Hayati Aini yang dijemput Ilahi baru – baru ini bagaimanapun meninggalkan legasi yang cukup besar yang boleh dimanfaatkan oleh semua pelajar dan warga pendidik, iaitu menerusi ratusan video tutorial subjek matematik yang beliau muat naik di Youtube.

Video terakhir Cikgu Hayati

Saluran ‘hayatimathswizz Hayati Aini‘ yang bermula sejak 3 tahun lepas itu memuatkan 387 video berkaitan matematik tambahan merangkumi pelbagai topik dan permasalahan.

Antara video yang dimuat naik cikgu Hayati

Setelah mengetahui tentang pemergian beliau, netizen mengucap takziah beramai – ramai di ruangan komen video terakhir cikgu Hayati.

Menurut suami kepada arwah Hayati, Abdul Jalil, 53, ilmu yang dikongsikan isterinya itu diharap boleh memberi manfaat kepada golongan pelajar.

“Selagi video di Youtube itu boleh beri manfaat kepada semua, ambil dan belajarlah melaluinya”

Jalil yang ditemu ramah oleh mstar itu juga memberitahu arwah isterinya sedaya upaya akan membantu pelajarnya memahami sesuatu perkara walaupun di luar waktu persekolahan.

“Dalam apa jua keadaan, dia akan cuba penuhi keperluan orang lain berbanding dirinya sendiri”

Cikgu Hayati merupakan tenaga pengajar di Sekolah Menengah Bandar Baru Sungai Long, Kajang, sehinggalah saat beliau menghembuskan nafas terakhir.

Beliau meninggal dunia di kediamannya di Taman Puncak Saujana, Kajang pada usia 46 tahun.

Semoga usahanya diterima Allah sebagai amalan yang berterusan mengalir dan dimanfaatkan oleh ummah.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.