Mindset atau cara fikir masyarakat mempengaruh kecintaan generasi muda terhadap sains, terutama terhadap pelajar wanita.

“Apabila bertemu dengan pelajar atau ahli sains dalam kalangan wanita, biasanya apa yang ditanya masyarakat terhadap mereka adalah bila nak kahwin dan dah ada anak belum”.

“Masyarakat tidak pernah bertanya tentang pencapaian mereka dalam bidang kejuruteraan, apa sumbangan mereka dalam pendidikan” , ujar Cikgu Yasmin Noorul Amin.

Cikgu Yasmin yang merupakan cikgu sains cemerlang serta pernah dinobat sebagai 50 guru terbaik dunia berucap demikian dalam konferens ‘Women & Girls in Science’ 2019 anjuran CESTA16.

Beliau juga menyatakan bahawa persepsi ibu bapa terhadap anak – anak perempuan yang mengambil kejuruteraan perlu dimurnikan.

“Biasanya anak perempuan digalakkan menjadi doktor, bukan jurutera. Tapi saya tetap mengambil bidang kejuruteraan dahulu kerana minat”.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa dalam pendidikan STEM, tiada jantina yang lebih pandai daripada jantina lain.

Selaku warga pendidik beliau juga meluahkan kerisauan terhadap minat pelajar yang semakin luntur terhadap sains.

“Banyak pelajar saya yang pandai – pandai dalam sains, apabila ditanya nak jadi apa, mereka jawab Youtuber”

Apabila ditanya mengenai sistem peperiksaan sebagai punca kemunduran STEM, beliau mengatakan sistem tersebut tidak boleh dipersalahkan.

“Ia sistem yang digunakan seluruh dunia untuk menilai kebolehan pelajar. Apa yang kita perlu lakukan adalah amalkan kreativiti dan perancangan yang baik.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.