Syarahan pendek sains tentang ketagihan dadah telah dipilih sebagai pemenang pertandingan Famelab Malaysia 2019 baru – baru ini.

Pegawai perubatan psikiatri dari sebuah hospital kerajaan, Mohd. Hazreen Abdul Rashid menceritakan mengenai pengalaman beliau mengendalikan pesakit penagih serta menjelaskan ketagihan dadah daripada sudut sains.

Pembentangan beliau telah berjaya memikat hati juri yang menilai berpandukan faktor kandungan, kejelasan dan karisma.

Kemenangan Mohd. Hazreen, 32, sekali gus melayakkannya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 selain berpeluang mewakili negara dalam pertandingan Famelab Antarabangsa pada 5 dan 6 Jun depan di Festival Sains Chelthenham di United Kingdom.

Pada tahun lepas, saintis Malaysia Dr Siti Khayriyyah Mohd Hanafiah telah membanggakan Malaysia apabila dipilih sebagai ‘jurucakap sains terbaik dunia’ setelah memenangi pertandingan Famelab peringkat Antarabangsa.

Famelab merupakan sebuah pertandingan sains komunikasi yang memerlukan peserta membuat persembahan berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam masa tiga minit.

Pertandingan ini berjaya menarik minat seramai 63 pemohon dan seramai 12 orang tersenarai sebagai peserta akhir menerusi tiga tapisan di peringkat negeri yang berlangsung pada Februari hingga Mac lalu.

Famelab dianjurkan oleh MIGHT bersama British Councils serta mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi dan pusat penyelidikan profesional, Euraxess.

“Saya memilih topik pengulangan ketagihan dadah kerana banyak tuduhan dan kecaman yang diterima oleh golongan ini kerana kembali menagih selepas pulih bertahun-tahun.

“Mereka dikatakan jahat dan lemah iman, tetapi masyarakat perlu tahu ia sebenarnya disebabkan oleh banyak faktor.“Servis pemulihan dadah adalah salah satunya. Ketagihan dadah ini berlainan mengikut jenis, jadi rawatannya juga berlainan,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.