Pada pertengahan tahun 2018 Facebook mula memperkenalkan lencana top fan bagi mengiktiraf wargamaya yang aktif berinteraksi di sesebuah page / laman.

Dan lencana top fan ini semakin jelas kelihatan dan ‘diburu’ oleh wargamaya bermula awal tahun 2019. Kalau perasan, sebelum ini lencana top fan menggunakan simbol bintang, dan kini telah dikemaskini kepada simbol permata.

Jadi, apa istimewanya lencana top fan ini kepada wargamaya?

Image result for top fan

Mengapa sesetengah wargamaya sanggup berinteraksi lebih di laman FB (walaupun kadang kala komentar yang diberikan tidak relevan dengan post atau sekadar meme menagih simpati admin untuk memberikan top fan) semata-mata untuk mendapatkan lencana top fan?

Dan paling penting, bagaimana hendak mendapatkan top fan di laman Facebook kegemaran anda?

Psikologi di sebalik lencana Top Fan.

Menurut Nir Eyal, penulis buku ‘Hooked: How to Build Habit-Forming Products’ dan pakar pemasaran media sosial, wargamaya kerap bermain Facebook, Twitter, Instagram, PUBG, DOTA atau melayari YouTube kerana produk-produk ini telah membentuk habit atau kebiasaan wargamaya untuk kerap kali dan berterusan menggunakan produk-produk tersebut.

Atau dalam bahasa mudah, mereka telah terpaut kepada mata kail. Hooked. Empat elemen penting dalam ‘hooked’ ialah Trigger, Action, Rewards dan Investment.

Dalam konteks lencana top fan di Facebook, trigger berlaku apabila kita melihat orang lain mendapat lencana top fan di page kegemaran kita, kemudian kita pun tertanya-tanya:

“Eh? Kenapa dia dapat lencana top fan, kenapa aku tak dapat?”

Lencana top fan yang dipaparkan itu membentuk trigger luaran, kemudian trigger luaran mencetuskan trigger dalaman berbentuk emosi dan perasaan.

Kita dapat rasakan seolah-olah dengan adanya lencana top fan menjadikan kita lebih tinggi taraf berbanding wargamaya lain dalam laman tersebut, kita rasa diiktiraf, dihargai serta wujud seakan perasaan berpunya kepada laman yang memberikan kita lencana top fan.

Kemudian, kita mula melakukan tindakan bagi mendapatkan lencana top fan seperti berinteraksi lebih kerap di laman tersebut, memberi komentar menggunakan meme atau gif menagih secebis lencana top fan atau paling dramatik, pm admin minta diberikan lencana top fan!

Kita Tak Tahu Bagaimana Peroleh Top Fan

Paling menarik, wargamaya tidak pernah diberitahu apakah prosedur mutlak yang perlu dilakukan bagi mendapatkan lencana top fan.

Berapa kali perlu ketik like pada post di page tersebut? Berapa kerap kena beri komentar? Adakah meme, gif atau komentar yang tidak relevan, berkesan untuk mendapatkan lencana top fan?

Tak ada siapa tahu dan Facebook juga tidak memberi tahu. Mereka hanya mengatakan bahawa wargamaya perlu ‘lebih banyak berinteraksi’ di page berkenaan bagi mendapatkan lencana top fan.

Keadaan ‘tidak tahu’ inilah yang menyebabkan wargamaya terus menerus dan berterusan mencuba nasib dengan cara berinteraksi lebih bagi mendapatkan lencana top fan.

Akhirnya, setelah berkali-kali berinteraksi di page kegemaran, barulah wargamaya diberikan rewards dalam bentuk paparan lencana top fan.

Sekiranya kita berfikir secara rasional, ganjaran dalam bentuk lencana top fan ini tidak mendatangkan sebarang manfaat pun, hanya sekadar simbol permata dengan tulisan ‘top fan’ di atas nama kita setiap kali kita memberi komentar. Kalau admin nak bagi duit raya kepada top fan, itu lain cerita.

Image result for top fan

Kenapa Seakan Wujud Perasaan Bagus apabila Kita Dikurniakan Lencana Top Fan ini?

Jawapannya ialah kerana kita merasakan bahawa diri kita lebih istimewa atau superior berbanding wargamaya yang tidak mempunyai lencana top fan. Dalam konteks permainan video, kira macam kita sudah naik level atau telah meningkat ke peringkat yang lebih baik.

Sebaik sahaja mendapat lencana top fan, secara tidak langsung kita akan termotivasi untuk lebih kerap memberi komentar di laman berkenaan bagi menunjukkan kepada wargamaya lain bahawa: “Aku ada lencana top fan, kau ada apa?”

Dalam bahasa mudah, kita akan laburkan lebih banyak masa dan berinteraksi lebih di laman berkenaan sehingga membentuk kebiasaan atau habit.

Dan kitaran hooked ini akan berterusan daripada semasa ke semasa, bergantung kepada kemaskini yang bakal dilakukan oleh Facebook. Siapa tahu mungkin lepas ini akan wujud lencana Mega Top Fan hanya untuk seorang top fan yang paling aktif berinteraksi berbanding top fan top fan lain?

Akhir kalam, teori Hooked yang terdiri daripada Trigger, Action, Rewards dan Investment ini bukanlah satu teori iluminati atau konspirasi yahudi, tetapi ia adalah sains psikologi yang membentuk kebiasaan atau habit seseorang wargamaya di media sosial.

Penting untuk kita mengetahui berkenaan ilmu ini supaya kita dapat mengawal diri kita dan orang yang kita sayang daripada ketagihan melayari media sosial atau bermain permainan video.

Jadilah wargamaya yang bijak, jangan selama-lamanya terjerat di mata kail.

Amirul Eqhwan Rahim,
Top Fan page-page ilmiah. Aiwah!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.