Cuba anda perhatikan GIF di bawah.

Pylons2016.gif

Adakah anda dapat ‘mendengar’ apa – apa bunyi?

Sebilangan besar warga internet mengatakan bahawa mereka sememangnya dapat mendengar bunyi ‘thud, thud’ setiap kali pencawang elektrik tersebut jatuh ke tanah.

Hairannya, video di atas ternyata merupakan GIF (Graphics Interchange Format), iaitu hanyalah gambar berulang – ulang yang tidak mempunyai sebarang bunyi. Format gambar ini digunakan secara meluas di internet, tapi beberapa GIF tular apabila ramai yang menyatakan mereka dapat ‘mendengarnya’.

Seorang saintis pernah membuat bancian di Twitter berkenaan fenomena ini:

Beliau menanyakan sama ada warga internet dapat mendengar apa – apa bunyi apabila melihat GIF di atas. Sangat mengejutkan, apabila hampir 70% menjawab mereka sememangnya dapat mendengar bunyi ‘thud, thud’.

Bermakna majoriti manusia (daripada 300 ribu+ undian) dapat mendengar sesuatu daripada video yang senyap!

Bagaimana ini boleh masuk akal?

Selain daripada GIF pencawang meloncat di atas, sebelum ini juga pernah terdapat beberapa GIF lain yang juga mencetus bunyi walaupun ia bisu, contohnya gajah bermain jongkang jongket ini:

Dapat dengar bunyi ‘thud’ dan ‘sproing”?

Dalam video di bawah pula, hanya dengan beberapa frame lukisan, kita dapat mendengar ritma lagu ‘We will rock you’.

Peliknya.

Malah, terdapat laman reddit khas noisy gifs yang mengumpulkan GIF yang membuat kita ‘menutup telinga’. Laman tersebut mempunyai pengikut yang besar mencecah 250 ribu +.

Bagaimana Kita Boleh Mendengar Gambar yang Bisu?

Fenomena ini dipanggil ‘visually evoked auditory response’ (vEAR) menurut artikel NewScientist, iaitu apabila kita mendengar bunyi – bunyian pada gambar bergerak yang senyap.

vEAR adalah sejenis synaesthesia, iaitu apabila satu deria diaktifkan, deria lain yang tiada kaitan pun turut beraktivasi sama. Apabila melihat warna, terasa perasa di lidah, dan apabila melihat dengan mata, telinga turut mendengar sama.

Seorang ahli psikologis dari City University of London, Elliot Freeman melakukan kajian mengenai perkara ini setelah mendapati beliau mendengar bunyi ‘buzz, buzz’ daripada kerlipan cahaya rumah api.

Daripada kajian beliau, beliau dapati 22% daripada peserta menyatakan mereka mampu ‘mendengar’ bunyi samar – samar daripada kerlipan cahaya yang ditunjukkan kepada mereka, walaupun hakikatnya tiada bunyi yang dihasilkan.

Rangsangan pendengaran yang dicetuskan oleh stimulasi penglihatan ini bagaimanapun boleh mendatangkan masalah, kerana ia berkemungkinan menganggu isyarat pendengaran yang sebenar.

Dengan kata lain, telinga kita boleh tertipu dengan apa yang kita lihat.

Bukan itu saja, mereka yang mengalami vEAR juga lebih berkemungkinan untuk merasai kesan yang terbalik : mereka boleh melihat kilauan cahaya setelah mendengar bunyi – bunyi tertentu. Mereka lebih mudah untuk alami lagu yang berulang – ulang dalam kepala.

Seorang pengguna Twitter mengatakan hal ini berlaku kerana aktiviti neuronal berkolerasi (correlated neuronal activity). Otak kita sudah meramal yang akan berlaku menerusi penglihatan kita, kemudian mengeluarkan rangsangan di deria lain menurut apa yang ia jangkakan.

Warganet yang lain mengatakan kesan itu hanya terjadi disebabkan ilusi gegaran pada tanah, dan bukan sangat pada loncatan pencawang elektrik itu. Jika tiada pencawang itu pun, kita boleh mendengar bunyi hanya menerusi kesan gegaran.

Walaubagaimanapun, fenomena ini nampaknya masih belum diterokai sepenuhnya oleh sains. Jika anda berminat untuk mendalami lebih tentang rangsangan pendengaran yang disebabkan oleh penglihatan ini, anda boleh melayari laman ahli psikologis Elliot Freeman ini yang menyatakan beliau boleh ‘mendengar’ bunyi kerlipan lampu kereta, pergerakan bibir sehingga beliau keliru mana satu bunyi tipu dan mana satu bunyi sebenar!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.