Tam, Badak Sumatera jantan terakhir dalam jagaan manusia telah mati baru – baru ini lantaran masalah kesihatan yang berpanjangan.

Walaupun setelah pihak berkuasa Borneo bertungkus lumus memberi jagaan terbaik kepadanya selama berminggu – minggu, akhirnya badak jantan tersebut tewas dengan usia tuanya dan kegagalan fungsi – fungsi organ.

Kematian Tam adalah satu tamparan hebat kepada nasib Badak Sumatera yang begitu kritikal dan hampir kepada kepupusan.

Kini, apa yang tinggal daripada spesis tersebut adalah seekor badak betina, Iman, yang kini dalam jagaan di Malaysia dan lebih kurang 80 lagi badak di Indonesia.

Percubaan untuk mengawan Tam dengan Iman dan Puntung (seekor lagi badak betina yang telah mati pada 2017) telah gagal, kerana Iman mengalami kemandulan, sedang Puntung pula cedera setelah dijerat pemburu haram.

Gambar Tam pada tahun 2015. Kredit – Borneo Rhino Alliance

Maka, dengan ketiadaan pewaris baru spesis tersebut di Malaysia, nasib kepupusan total nampaknya semakin tidak dapat dielakkan.

Menurut laporan WWF, Badak Sumatera telah pun pupus di Sarawak beberapa dekad yang lalu, dan telah pupus sepenuhnya di Semenanjung sedekad lepas.

Badak – badak Sumatera yang masih ada sekarang hidup berasingan, maka semakin sukar untuk pasangan jantan dan betina bertemu.

Berkemungkinan terdapat satu atau dua badak liar yang masih berkeliaran dalam hutan yang masih belum ditemui, namun nombor mereka terlampau sedikit untuk dianggap signifikan. Badak Sumatera di Malaysia telah pun dilabel sebagai ‘pupus fungsi’.

Apa Penyebab Kepupusan Badak Sumatera?

Jawapan mudah: manusia.

Badak Sumatera diburu di serata Borneo untuk mendapatkan tanduk mereka yang menjadi barang dagangan berharga dengan pedagang China.

Apabila senjata api mula digunakan oleh pemburu – pemburu ini secara meluas, badak sumatera mampu ditumpaskan dengan lebih mudah.

Bangkai badak Jawa yang diburu di Vietnam sehingga pupus.

Begitu juga, apabila teknologi pembalakan semakin berkembang, pemburu – pemburu senang saja dapat menerobos ke bahagian dalam hutan.

Pembalakan besar – besaran kawasan hutan untuk diubah menjadi kawasan pertanian manusia telah menyebabkan kehilangan habitat Badak Sumatera di samping menjadikan badak lebih terdedah kepada aktiviti pemburuan.

Ditambah dengan masalah – masalah pembiakan yang dialami oleh badak, pelbagai faktor ini akhirnya menyumbang kepada kejatuhan populasi haiwan tersebut.

Sebelum ini, usaha pemeliharaan badak seperti mengurangkan kadar pemburuan haram, membina kawasan penjagaan dan pemeliharaan badak, dan mengadakan bancian populasi telah diambil. Namun, ternyata ia kurang berkesan apatah lagi apabila masalah serius pembiakan badak yang amat rendah tidak diselesaikan.

Ditambah lagi dengan kehendak politik yang acuh – tidak – acuh terhadap nasib Badak Sumatera, kepupusan sepenuhnya spesis tersebut nampaknya hanya menunggu masa.

“Kenapa Nak Selamatkan Lagi Badak Sumatera Kalau Memang Pasti Akan Pupus?”

Persoalan ini menarik, sebab ia mendorong kita berfikir dengan mendalam.

Apa maksud ‘pupus’? Atau apa yang berlaku apabila sesuatu spesis itu pupus? Penulis sebagai contoh tidak pernah bertemu secara langsung dengan badak sumatera, tidak pernah melihat langsung, apatah lagi memegang mereka.

Selepas ini, berkemungkinan kita tak akan dapat lagi peluang itu buat selama – lamanya. Kita mungkin hanya akan boleh melihat suatu spesis yang pernah dipanggil ‘badak sumatera’ dalam dokumentasi video, atau katalog bergambar ‘spesis – spesis yang telah pupus’.

Kita tak lagi akan berpeluang mengenali mereka, mengkaji dan mempelajari makhluk ciptaan Allah ini. Apatah lagi, mamalia bertubuh besar ini lesap sepenuhnya sebelum kita sempat mempelajari kelakuan dan ekologinya. Hilangnya satu ilmu tentang seekor makhluk dari muka bumi buat selamanya.

Dan yang lebih ironinya, tiada yang lebih bertanggungjawab atas kepupusan mereka selain manusia. Badak sumatera ini dianggar telah hidup di muka bumi puluhan ribu malah jutaan tahun, dan ia bakal lesap sepenuhnya dengan membawa pergi sejarah panjang kehidupan mereka. Semuanya disebabkan oleh tangan – tangan manusia.

Persoalannya, bukankah kita manusia miliki ilmu dan teknologi dan selamatkan mereka daripada kepupusan? Mengapa kita tak gunakannya? Adakah ilmu yang kita peroleh hanya kita ‘manfaatkan’ dengan mencipta senapang efisien pembunuh keseluruhan spesis?

Di mana tanggungjawab kita sebagai khalifah?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.